Malaysia Dateline

‘Susah sangatkah SPR untuk undi 18 secara automatik?’

Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempersoal keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan pengundi 18 tahun yang dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berpendapat tempoh lebih setahun amat realistik untuk SPR melaksanakan undi 18 secara automatik.

“SPR jangan sebut soal realistik, kerana setahun lebih yang berlalu adalah tempoh yang amat realistik untuk melaksanakan undi 18 secara automatik.

“Kami nak tahu secara terperinci, halangannya apa dan di mana?” katanya di Twitter mengulas alasan SPR untuk menangguhkan #Undi18.

Terdahulu, SPR hari ini berkata, pihaknya bersikap realistik dengan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh turut berkata, persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.

Sehubungan itu, Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan secara logiknya, pendaftaran pengundi secara automatik lebih mudah berbanding manual.

“Teknologi digital dalam sistem pendaftaran negara lebih daripada mampu untuk melaksanakannya segera.

“Susah sangatkah hingga setahun lebih tapi masih belum mampu ‘bersiapsiaga’?” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dilihat mendahului SPR apabila mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18 tahun.

Katanya, kelayakan mengundi pada pilihan raya pada usia 18 tahun tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Kenyataan Rais itu bercanggah dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 3 November tahun lalu apabila memberitahu pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Ekoran itu, beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda termasuk Pemuda Umno, MCA, PKR, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Pemuda DAP menuntut kerajaan menyatakan pendirian mengenai status undi 18 tahun.