Malaysia Dateline

Susun semula dasar untuk mengejar Impian Malaysia

Dua hari lepas, semasa pelancaran Teater Impian, saya telah memetik pandangan Facebook Yusuf Hashim, seorang jurugambar dan gypsetter, dalam menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada Lee Zii Jia kerana memenangi Kejohanan All-England, beliau mengatakan:

“Apabila kita mengabaikan meritokrasi dalam jangka waktu yang panjang, negara kita ditakdirkan untuk gagal.

“Untuk jangka waktu sementara yang singkat, untuk mengatasi ketidakseimbangan tertentu, mengetepikan meritokrasi mungkin dapat boleh ditoleransi dan diuruskan.

“Namun, jika diamalkan dalam jangka waktu yang panjang, perkara ini akan berubah menjadi norma berbahaya, dengan akibat jangka panjang yang mengerikan dan tidak dapat diperbaiki untuk negara kita.”

Kebelakangan ini, terdapat banyak perbualan mengenai Perpaduan Melayu dan Perpaduan Islam, yang bertentangan dengan idea Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.

Sekiranya kita ingatkan menjadikan Impian Malaysia ini satu kenyataan, ia perlu diasaskan kepada sebuah idea sebuah negara Malaysia yang hebat, bukan sebuah negara Melayu yang hebat, sebuah negara Cina yang hebat, atau sebuah negara India yang hebat.

32 juta orang rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum, bahasa, agama, dan budaya tidak boleh membentuk sebuah negara Melayu yang hebat, sebuah negara Cina yang hebat, atau sebuah negara India yang hebat, kerana perkara ini akan menjadi formula kepada perpecahan dalam negara kita — sebaliknya, bersama, kita semua mampu untuk membina sebuah negara Malaysia yang hebat.

Malah, sebagai titik pertemuan empat peradaban hebat dunia — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — kita berada di kedudukan yang bertuah untuk menjadi contoh kejayaan Penyatuan Peradaban yang bertemu di negara kita ini, dan bukannya menjadi contoh kegagalan akibat pertembungan budaya.

Kita perlu menggerakkan segala usaha untuk memanfaatkan nilai-nilai murni dalam peradaban utama dunia ini untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

Namun, untuk kita kembali kepada mengejar Impian Malaysia ini, kita perlu berani untuk belajar daripada kesilapan dan cabaran lampau, yang telah menyekat usaha kita untuk memperhebatkan negara yang tercinta ini.

Hari ini, tokoh korporat, Nazir Razak, anak kepada Perdana Menteri kedua yang juga merupakan arkitek Dasar Ekonomi Baharu (DEB), Tun Abdul Razak, telah mengatakan yang kebanyakan prinsip-prinsip dalam DEB tidak lagi terpakai, sebaliknya menyebabkan wujudnya politik yang gagal dan perpecahan dalam negara kita.

Beliau mengatakan yang status quo sedia ada ini semakin parah, dan meminta para pemimpin negara untuk mengambil inisiatif untuk membentuk dan melaksanakan satu sistem politik, ekonomi, dan sosial, kerana DEB ini bukanlah satu penyelesaian kekal.

Beliau memberikan amaran mengenai isu-isu yang semakin parah sekiranya pemimpin negara kita tidak melakukan perubahan dengan segera.

“Adakah kita perlu menunggu sehingga berlakunya pergaduhan jalanan atau sehingga kita menjadi sebuah negara gagal sebelum kita akhirnya mula melaksanakan perubahan?”

Nazir mengatakan keadaan darurat, dengan ketidakstabilan politik dan kekecewaan rakyat menjadi contoh mengapa perubahan perlu dilakukan.

“Tidakkah patut para pemimpin kita ini duduk bersama, kenal pasti masalahnya, dan laksanakan perubahan sekarang?

Mereka tidak boleh senang-senang berkata “Saya menerima manfaat daripada sistem ini; saya tidak mahu mengubah apa-apa.”

“Inilah masalah dengan reformasi. Orang yang berkuasa akan mengatakan, ‘Perkara ini telah membawa saya ke sini. Mengapa saya mahu mengubahnya?’”

Beliau mengatakan terdapat keperluan untuk membentuk satu kumpulan pakar untuk mengenal pasti masalah yang besar dan memecah belah dalam negara kita.

Beliau mengatakan kumpulan ini boleh mengambil bentuk seperti Majlis Perundingan Negara yang dibentuk selepas rusuhan 13 Mei.

“Kini, dunia tidak menunggu sesiapa pun. Keadaan dunia sekarang adalah di mana sekiranya kita tidak menyelesaikan masalah dalam sistem demokrasi, masyarakat dan identiti kita, kita akan terus ditinggalkan di belakang.”

Semasa DEB diperkenalkan pada tahun 1971, ia diperkenalkan untuk tempoh 20 tahun. Kini, 50 tahun kemudian, adakah kita sudah bersedia untuk menyemak semula dasar ini dan kembali ke era di mana meritokrasi bukanlah satu perkataan yang dipandang kotor?

Lima puluh tahun lalu, pada bulan Februari 1971, ini yang saya perkatakan di Parlimen:

“Kami berdedikasi untuk menghapuskan kemiskinan dan kemunduran ekonomi tanpa mengira kaum. Kami mahu mencipta sebuah masyarakat rakyat Malaysia tanpa perbezaan di antara kelas yang berteraskan persaudaraan, kerjasama, dan sifat tanggungjawab, di mana tidak ada sebarang eksploitasi di antara satu sama lain, baik berbeza kelas atau kaum.

“Kami menyokong apa-apa tindakan untuk membantu golongan Melayu yang memerlukan. Tetapi kami membantah penggunaan hak keistimewaan orang Melayu untuk terus mengayakan golongan Melayu kaya, sedangkan golongan buruh dan petani Melayu kekal dieksploitasi.

“Kita berhadapan dengan ketidakadilan sosial dan pengagihan kekayaan dan hasil yang tidak adil di Malaysia. Selama bertahun lamanya, golongan hartawan-feudal dan taikun terus bertambah kaya dan semakin kaya, sedangkan rakyat marhaen dan golongan pekerja terus ditindas.

“Masalah yang dihadapi di Malaysia ini bertambah sukar kerana dua kebetulan. Pertamanya, pembahagian kelas di negara kita ini kebetulan selari dengan pembahagian perkauman, dan keduanya, perbezaan pendapatan dan produktiviti di antara golongan penduduk di bandar dan luar bandar juga kebetulan selari dengan dengan pembahagian perkauman, memandangkan penduduk di bandar kebanyakannya terdiri daripada golongan bukan Melayu dan kebanyakkan orang Melayu berada di kawasan luar bandar.

“Kunci utama untuk menyeimbangkan perbezaan ini adalah dengan menggalakkan perkembangan ekonomi secara lebih meluas dan lebih pantas di kawasan luar bandar, dan bukannya dengan menggunakan doktrin perkauman yang bersifat jahat dan memecahbelah dengan menyamakan kesenjangan ekonomi dengan perbezaan perkauman dalam negara kita.

“Sebarang cubaan untuk merangka teori dan penyelesaian berbentuk perkauman untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat adalah cubaan yang berbahaya, kerana perkara ini hanya akan melaga-lagakan masyarakat pelbagai kaum dalam negara kita, dan perkara ini tidak akan berakhir dengan baik.

“Perkara ini juga bermasalah kerana ia akan dibentuk di atas penipuan yang mengatakan yang mengatakan kononnya orang bukan Melayu adalah golongan yang berada dan orang Melayu adalah golongan yang tidak berada.

“Masalah di Malaysia adalah masalah ekonomi dan kelas, bukan masalah perkauman.”

Saya telah tekankan bahawa satu-satunya cara yang efektif untuk meningkatkan taraf kehidupan semua golongan yang memerlukan, tidak kiralah latar belakang kaum mereka, adalah dengan melaksanakan dasar yang berkesan yang tidak dicemari dengan sifat perkauman.

Ia dilakukan dengan melaksanakan reformasi hak tanah, dengan membasmi perbuatan mengutip hasil tanpa usaha di tanah-tanah tanaman padi dan pengagihan tanah kepada golongan petani yang mahu mengusahakan tanaman, penciptaan sistem kredit luar bandar yang menyeluruh dan efisyen, struktur pasaran dan koperasi untuk membebaskan para petani daripada masalah pecah belah kutipan hasil, masalah tuan tanah yang tidak pedulikan tanah mereka, dan masalah hutang berpanjangan; menambah kepelbagaian dalam bidang agrikultur dan ekonomi; membawa sistem pendidikan yang moden dan berteraskan sains untuk memajukan golongan petani dengan teknik dan ilmu-ilmu abad kedua puluh, dan proses industrilisasi yang lebih menyeluruh.

Saya telah katakan: “Semua rakyat Malaysia akan menyokong kedudukan istimewa untuk membantu orang Melayu yang memerlukan, seperti mana semua rakyat Malaysia akan menyokong usaha untuk membantu orang bukan Melayu yang memerlukan, di atas dasar keperluan, dan bukannya berasaskan dasar perkauman.”

Adakah kita bersedia untuk menetapkan semula dasar-dasar pembinaan negara bangsa, selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara, untuk mencapai Impian Malaysia untuk negara kita menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia?

Teater Impian ini didedikasikan kepada kesinambungan usaha mencapai cita-cita Impian Malaysia yang akan diteruskan oleh generasi baharu rakyat Malaysia, untuk terus bangkit daripada kekecewaan kita, selepas harapan tinggi kita dirampas beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, untuk meneruskan misi untuk menyatukan rakyat Malaysia, membentuk sebuah negara hebat bertaraf dunia, membuktikan kebenaran kata-kata Bapa Malaysia, untuk negara kita menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
————-
Tulisan ini berdasarkan komen oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Teater Impian, Bukit Jalil semasa lawatan Menteri Besar Selangor Datuk Amirrudin Shari pada hari Selasa, 30 Mac 2021, 4 petang.