Malaysia Dateline

Susun semula, perkukuh barisan Exco Selangor

Negeri Selangor merupakan salah satu Kerajaan Negeri yang kekal utuh dan intek yang dipimpin oleh Pakatan Harapan. Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Dato Seri Amirudin Shari daripada Parti Keadilan Rakyat boleh dianggap salah satu negeri yang menjadi kubu kuat bagi Pakatan Harapan selain daripada Pulau Pinang dan juga Negeri Sembilan.

Krisis politik yang melanda negara pada awal Mac yang lalu dengan siri pengkhianatan yang dilakukan oleh segelintir Ahli Parlimen serta ADUN daripada PH sendiri sehingga menyebabkan Kerajaan Persekutuan serta beberapa Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan runtuh.

Kini masa bagi pimpinan kerajaan negeri khususnya negeri Selangor mengginsafi serta dengan proaktif memperkemaskan dan memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan negeri Selangor kekal menjadi kubu kuat bagi Pakatan Harapan dan menjadi contoh negeri yang terbaik di Malaysia.

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Amirudin wajar perkukuhkan Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Negeri Selangor dengan memberi satu nafas baru dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ini adalah peluang terbaik bagi Dato Menteri Besar Selangor mengambil satu langkah proaktif menyusun semula barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia bukan lagi dalam gabungan PH di Selangor.

Baru-baru ini juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor juga telah mengumumkan perletakkan jawatan serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat serta seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat.

Kekosongan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini perlu diisi dengan penuh hemah dan yang paling utama dapat memberi satu nafas baru dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Amirudin seaku Dato Menteri besar Selangor harus memperhalusi dengan penuh hemah daripada sudut representasi kaum dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hal ini penting bagi mencerminkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Dato Seri Amirudin Shaari yang juga merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor menonjolkan satu bentuk pentadbiran yang segar.

Terdapat lima wakil Melayu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terdiri daripada tiga daripada PKR dan dua daripada AMANAH.

Ketika ini dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terdiri daripada tiga wakil kaum Cina iaitu dua wakil daripada DAP dan satu daripada PKR. Manakala hanya terdapat satu wakil sahaja daripada kaum India yang diwakili DAP.

Oleh yang demikian, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor harus diperkukuhkan dengan menempatkan sekurang-kurangnya seorang lagi representasi daripada kaum India dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jika dilihat, PKR merupakan sebuah parti yang berasaskan berbilang kaum dan merupakan parti yang memimpin negeri Selangor dan seharusnya PKR mempunyai wakil daripada semua kaum di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Secara tidak langsung dapat memberi keyakinan luar biasa kepada rakyat khusunya daripada kaum India itu sendiri.

Susulan daripada dua kekosongan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta satu kekosongan jawatan Timbalan Speaker Dewan Negeri, ini adalah peluang terbaik bagi pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor melakukan satu anjakan paradigma dengan memberi satu nafas baru yang segar di samping dapat memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan Negeri Selangor kekal sebagai sebuah kubu kuat Pakatan Harapan.

Justeru itu, dalam konteks mengembalikan keyakinan rakyat negeri Selangor selepas krisis politik yang melanda negara awal mac lalu merupakan satu cabaran dan cabaran ini harus ditangani dengan memperkukuhkan dan memperkuatkan pentadbiran negeri bagi memberi kayakinan yang luar biasa kepada rakyat Selangor.