Malaysia Dateline

Susun tuala wanita, Hanipa soal ini skop Menteri Agama ke?

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin menegur satu gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang memperlihatkan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri sedang menyusun tuala wanita di Kedai Rakyat MAIWP.

Kedai Rakyat MAIWP itu dibuka sebagai menjayakan kempen memberi tuala wanita percuma kepada kelompok miskin bandar.

Hanipa berkata, adalah lebih baik sekiranya Zulkifli membiarkan pekerja di kedai berkenaan untuk menyusunnya dan tidak perlu bertindak seperti ‘selebriti Yb’ atau modal iklan.

“Tak perlulah berfoto sakan pi susun tuala wanita atau pergi rumah artis sakan. Bagi lah pekerja di pusat beli belah tu pi susun,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Menurut Hanipa, Zulkifli seharusnya swastakan tuala-tuala wanita itu pada mana-mana persatuan wanita di masjid masjid, rumah-rumah ibadat agama lain, atau di mana-mana persatuan ibu tunggal di Wilayah Persekutuan.

“Bagilah mereka sedikit wang saguhati selepas itu.

“Yang bapak menteri yang berjubah dan berkopiah pi berfoto sakan susun tuala wanita tu apa hal? Ini skop kerja baru Menteri Agama ke?,” soalnya.

Terdahulu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengambil inisiatif menyediakan tuala wanita percuma kepada golongan miskin bandar.

Menerusi gambar yang disiarkan sebuah portal berita, Zulkifli dilihat sedang menyusun tuala wanita di sebuah rak kedai.