Malaysia Dateline

Suu Kyi akan bela tentera Myanmar dituduh lakukan penghapusan etnik

Pemenang Anugerah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi akan memberikan pembelaan terhadap tentera Myanmar yang dituduh melakukan penghapusan etnik, di samping pelbagai tuduhan seperti pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pengusiran golongan minoriti Islam Rohingya.

Gambia, sebuah negara kecil di Afrika telah membawa kes berkaitan Myanmar ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen 1948.

Aung San Suu Kyi yang sebelum ini terkenal sebagai ikon yang menentang kuasa ketenteraan berlebihan demi demokrasi mengejutkan ramai pihak apabila beliau mengetuai delegasi negaranya ke The Hague (mahkamah berkenaan), katanya dengan misi “mempertahankan kepentingan negara”, lapor Al Jazeera.

Semalam, beliau mendengar dengan tidak menunjukkan sebarang emosi perincian yang dikemukakan oleh peguam The Gambia mengenai kesengsaraan masyarakat Rohingya di tangan pihak berkuasa Myanmar termasuk dirogol secara berkumpulan, pembantaian dan dibunuh.

Walaupun Aung San Suu Kyi belum menjelaskan perincian pembelaan daripada kerajaannya, beliau dan pasukan peguam Myanmar dijangka akan memberikan hujah bahawa mahkamah tidak punya kuasa dan jenayah penghapusan etnik tidak berlaku di Myanmar.

The Gambia memberikan hujah bahawa adalah tanggungjawab semua negara di bawah Konvensyen 1948 menghalang penghapusan etnik daripada berlaku.

Kata The Gambia, tindakannya itu mendapat sokongan politik daripada OIC dan beberapa negara Barat termasuk Kanada dan Netherlands.