Malaysia Dateline

Swiss Garden Beach Resort Kuantan labur RM1.2 juta untuk imej baharu

Swiss Garden Beach Resort Kuantan, rangkaian hotel milik Swiss Garden International, melabur lebih RM1.2 juta sejak akhir tahun lalu untuk memberikan imej baharu bercirikan ‘mesra keluarga’ bagi menarik lebih ramai pengunjung ke hotel berkenaan.

Pengarah Pemasaran dan Jualan Swiss Garden Beach Resort Kuantan Rodzhan Ab Rahman berkata tarikan baharu yang diperkenalkan termasuk Young Citizen of The World (YCoTW), sebuah pusat interaktif kanak-kanak yang dilengkapi pelbagai permainan dalaman seperti lego, permainan bepapan, iPad, ‘nerf-gun’ dan Playstation 4.

“Sesuai dengan kedudukannya yang terletak di pantai peranginan di negeri ini, selain untuk urusan korporat, kita juga menyediakan lebih banyak kemudahan di hotel ini sebagai tempat percutian keluarga.

“Ini kerana kita tidak boleh menafikan peranan kanak-anak itu sendiri sebagai pemutus untuk ibu bapa mereka memilih hotel mana untuk bercuti berdasarkan tarikan dan kemudahan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama rakan korporat, di sini hari ini.

Menurutnya selain YCoTW, sebuah taman tema mini air kanak-kanak ‘ Splash Kid’s Pool’ yang dibina dan siap pada akhir tahun lalu, dilengkapi dua gelongsor serta timba jongket untuk menambahkan tarikan baharu ke hotel itu.

Bagi golongan dewasa yang mementingkan gaya hidup sihat pula, Rodzhan berkata hotel itu menyediakan sebuah gimnasium baharu yang dilengkapi pelbagai alatan terkini untuk beriadah sambil bercuti mahu pun berkursus.

“Selain itu kita turut memperbanyakkan aktiviti luaran seperti ‘paintball’, ‘jungle tracking’, ‘all-terrain vehicle’ (ATV) dan terbaharu ‘banana boat’ yang akan didatangkan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Menurutnya pada masa ini Swiss Garden Beach Resort Kuantan mempunyai 304 bilik dengan kadar penghunian sebanyak 60 peratus pada hari biasa, manakala pada hujung minggu dan musim cuti sekolah antara 70 hingga 90 peratus.

Rodzhan berkata dalam masa yang sama semua bilik dan kemudahan di hotel berkenaan akan dibaik pulih secara berperingkat tahun ini dalam usaha memberikan imej yang lebih ‘segar kepada  Swiss Garden Beach Resort Kuantan.

— BERNAMA