Malaysia Dateline

SWM Environment aktifkan operasi pembersihan, banteras masalah sampah haram

Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, SWM Environment hari ini telah mengaktifkan Operasi Pembersihan Khas di Taman Lagenda Putra, Kulai.

Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, ia selari dengan seruan kerajaan negeri itu untuk membanteras masalah sampah haram yang dikesan masih berleluasa di serata negeri Johor.

Menurutnya, inisiatif tersebut memberi fokus kepada kawasan Kulai terlebih dahulu disebabkan masalah sampah haram yang kerap berulang.

“Operasi pembersihan khas ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment dalam memastikan kebersihan persekitaran selain mendidik orang ramai tentang tabiat pengurusan sisa pepejal yang tertib.

“Ini seiring dengan usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Kempen Buang Sampah Ke Dalam Tong Sampah anjuran SWCorp.

“Operasi ini melibatkan seramai 10 orang pekerja SWM Environment dengan sokongan jentera seperti dua buah jentolak (JCB), dua buah lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan dua buah side-car telah membersihkan sisa industri berjadual dan sisa pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Chen Choon; Pengarah SWCorp Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohammed Shakib Ali; dan Ahli Majlis Perbandaran Kulai, Shariza Sahil.

Mohd Zan juga menyeru orang ramai untuk bersama membanteras masalah sampah haram di negeri Johor dengan memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan secara percuma terutamanya kutipan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula.

Jelasnya, orang ramai digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan kutipan barangan kitar semula tersebut untuk meraih pulangan yang ditawarkan menerusi program KITAR3cycle SWM Environment.

Orang ramai juga boleh mendaftar sebagai ahli KITAR3cycle melalui aplikasi KITAR3cycle yang boleh dimuat turun dari Google Play dan Apps Store.