Malaysia Dateline

SWM Environment tangguh kerja pembersihan sempena Aidiladha

SWM Environment Sdn Bhd (SWM) akan menangguhkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor pada Ahad ini bagi memberi kesempatan kepada majoriti pekerjanya yang beragama Islam meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengurus SWM Wilayah Johor, Mohd Zan Arris dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata  perkhidmatan itu bagaimanapun akan kembali beroperasi seperti biasa pada Isnin.

Beliau berkata SWM akan melaksanakan kutipan sisa pepejal pada 10 dan 12 Ogos sebagai melengkapkan jadual perkhidmatan pada cuti perayaan sekali gus membendung daripada berlakunya masalah limpahan sampah.

“SWM juga akan memberikan perhatian khusus melibatkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan penyapuan jalan di kawasan tumpuan umum seperti pusat bandar, kawasan protokol dan jalan-jalan utama,” katanya.

Mohd Zan berkata Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau talian WhatsApp SWM melalui 012-618 0082 akan diaktifkan sempena sambutan Aidiladha bagi membolehkan orang ramai menyalurkan aduan dan pertanyaan sepanjang tempoh pindaan jadual itu.– BERNAMA