SWM Environment tetapkan waktu anjal petugas keluar mengundi

SWM Environment tetapkan waktu anjal petugas keluar mengundi

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang beroperasi di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Johor akan mengaktifkan jadual anjal khas operasinya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Pengurus Wilayah Johor Mohd Zan Arris berkata, pengaktifan jadual anjal khas tersebut diputuskan bagi memudahkan warga kerjanya yang berwarganegara Malaysia menunaikan hak dan tanggungjawab mereka di kawasan mengundi masing-masing.

SWM Environment bakal melaksanakan jadual anjal khas operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor bermula pada 5 Mei 2018 (Sabtu) dan akan kembali beroperaspada 10 Mei 2018 (Khamis).

Tambah beliau, jadual perkhidmatan SWM Environment akan dianjakkan sehari awal bermula pada tarikh tersebut dan kembali beroperasi mengikut jadual seperti biasa pada 10 Mei.

Manakala, tenaga kerja yang akan menjalankan tugas mengikut jadual seperti biasa pada 9 Mei di kawasan tumpuan khusus seperti di kawasan Pusat Bandar dan jalan protokol pula akan diberikan kelonggaran untuk keluar mengundi terlebih dahulu sebelum kembali ke lokasi kerja lapangan bagi menjalankan tugas masing-masing.

Jelas beliau lagi, pengaktifan jadual anjal khas ini diputuskan setelah mempertimbang kekuatan dan kemampuan tenaga kerjanya selain diselaraskan dengan pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Negara oleh Kerajaan Persekutuan berikutan ketetapan tarikh yang telah dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan dengan itu, pihak SWM Environment memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menguruskan sisa buangan mereka mengikut kaedah yang betul bagi membendung daripada berlakunya masalah limpahan sampah sepanjang tempoh jadual anjal tersebut.

Sebarang kesulitan boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082 untuk menyalurkan sebarang pertanyaan dan maklumat.

CATEGORIES
TAGS