SWM Kasih ceriakan Aidilfitri keluarga ibu tunggal

Keluarga ibu tunggal dan sukarelawan EXORA Owners Car Club bersama EXCO Johor.

Konsisten untuk menyumbang kepada segenap lapisan masyarakat di negeri Johor, syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) sekali lagi tampil memanfaatkan bulan Ramadan ini dan Syawal yang menjelang tiba.

Ia adalah untuk melunaskan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) melalui entiti SWM Kasih.

Usaha tersebut diterjemah melalui penganjuran Program SWM Kasih Santun Ramadan yang telah mendapat kerjasama erat daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan memberi perhatian khusus kepada kumpulan ibu tunggal dari sekitar Bandaraya Iskandar Puteri.

Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris menjelaskan program tersebut merupakan inisiatif SWM Kasih yang kedua dianjurkan sempena bulan Ramadan pada tahun ini selepas pengedaran 4,000 mangkuk bubur lambuk diagihkan kepada penjawat awam, anggota keselamatan, mahasiswa dan orang ramai menerusi Program Bubur Lambuk SWM Kasih.

Lantaran itu, pemilihan ibu tunggal dibuat sebagai langkah mengkhususkan jaringan kebajikan sosial program SWM Kasih Santun Ramadan.

Jelas beliau lagi, konsep program SWM Kasih Santun Ramadan pada tahun ini lebih kepada membantu ibu-ibu tunggal yang terlibat membuat persiapan bagi menyambut sambutan Aidilfitri kelak.

Bagi membangkitkan kemeriahan Aidilfitri, SWM Environment menyalurkan sumbangan dengan membawa ibu-ibu tunggal berkenaan bersama anak-anak mereka membeli pakaian baharu di Gedung JAKEL Bandar Baru UDA yang telah turut mendapat kerjasama daripada sukarelawan dari EXORA Owners Car Club Malaysia (EOCM) selaku pemandu kenderaan rasmi program.

Di samping itu, ibu-ibu tunggal berkenaan turut menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur dan kebersihan diri daripada rakan rentas industri yang tampil menjayakan program SWM Kasih pada kali ini antaranya seperti AEON Malaysia, Southern Lion dan Nestle Malaysia serta tidak ketinggalan, rakan penganjur strategik bagi setiap program SWM Kasih, Lee Biscuits.

Selain itu, pihak SWM Environment turut mengambil kesempatan untuk mengagihkan duit raya kepada anak-anak mereka yang terlibat dalam program berkenaan.

Program yang melibatkan seramai 30 orang sukarelawan daripada kalangan warga SWM Environment dan ahli EXORA Owners Car Club Malaysia tersebut telah disempurnakan pelepasannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai, YB Tan Hong Pin.

Turut terlibat ialah Pengurus Wilayah Johor, SWM Environment, Mohd Zan Arris serta Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Tuan Haji Md. Asri Haji Amir.

SWM Environment berharap agar kerjasama yang telah berjaya dijalinkan tersebut dapat dierat dan diteruskan pada masa hadapan kelak sekaligus berupaya memperkasa jaringan kebajikan sosial di serata negeri Johor kelak.

CATEGORIES