Nukilan hati dari penyanyi Syada Amzah buat ibunya agak mengusik perasaan apabila meluahkan hasrat mahu meninggal dunia sebelum ibu tercinta, Fauziah Sarman.
Syada berkata, ini kerana dia tidak mampu hidup tanpa permata hatinya itu.
Dalam nukilan yang dimuat naik di Instagram, penyanyi berusia 26 tahun itu meluahkan rasa syukur dapat meluangkan masa bersama ibunya sebelum tahun 2023 melabuhkan tirainya.
Menyedari kehebatan doa seorang ibu, Syada atau nama lengkapnya Nursyuhada Amir Amzah, memohon dimurahkan rezeki agar sentiasa dapat menjaga insan kesayangan.
“Hasrat Adah (nama panggilan Syada), saya mahu pergi dahulu (meninggal) sebelum ibu, sebab saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada saya jika ibu tiada di dunia.
“Saya tahu tidak semua orang berkesempatan menjaga seorang ibu. Ibu adalah lubuk pahala dunia akhirat dan seperti kita tahu, doa ibu tiada hijabnya.
“Jadi doakan Adah tau ibu. Semoga saya murah rezeki supaya boleh sentiasa belanja makan dan pakai ibu,” katanya.
Dalam masa sama, adik kepada penyanyi Shila Amzah itu berkata, satu-satunya impian dalam hidupnya adalah membahagiakan ibunya yang sentiasa berada di tangga pertama dalam hatinya
“Meluangkan masa di hari terakhir pada tahun 2023 dengan insan yang saya sayang. Saya amat bersyukur dikurniakan insan yang hebat, rendah diri dan baik hati di sekeliling saya.
“Ibu, syukur alhamdulillah saya diberikan kesempatan untuk hidup. Allah beri peluang demi peluang supaya saya dapat jaga ibu.
“Satu-satunya impian dalam hidup saya adalah untuk buat orang yang saya sayang rasa gembira dan bahagia. Ibu, anda adalah insan yang sentiasa berada di tangga pertama dalam hati saya,” katanya lagi.
Selepas terlibat dalam pertelingkahan berikutan keputusan Shila menjual banglo didiami keluarga, Syada dilihat sering bersama ibunya.
Syada merupakan anak bongsu kepada penyanyi veteran, Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman.
Baca juga: Rupanya ada ‘trick’ bagi Kuih Sagu Merah tak lembik, ikut petua Opah ini – “Confirm jernih elok!”