‘Syafiq Kyle’ akhirnya bernikah, gadis sekampung lega penantian sejak 2017 berakhir

Oleh WAN SITI AMINAH

Penantian seorang gadis selama enam tahun untuk memiliki hati ‘Syafiq Kyle’ akhirnya tercapai apabila lelaki itu sah menjadi suaminya pada April lalu.

Berkenalan di stesen minyak, siapa sangka pertemuan itu dapat menemukan jodohnya dengan lelaki yang memiliki wajah seiras dengan pelakon, Syafiq Kyle.

Sudah lama menaruh hati, gadis yang dikenali sebagai Aifa Nazirah itu tidak pernah menduga bahawa cintanya terhadap ‘kembar’ Syafiq Kyle rupanya berbalas.

Mengenang kembali detik perkenalannya bersama suami iaitu Zukhairi Zulkifli, Aifa pertama kali bertemu dengan lelaki itu pada bulan Ramadhan tahun 2017.

Memetik laporan Mstar, Aifa sudah mula jatuh hati kepada Zukhairi sebelum lelaki itu dikenali ramai kerana memiliki wajah yang serupa pelakon filem Langsuir itu.

“Wajahnya dikatakan sama macam Syafiq Kyle. Orang panggil dia Syafiq Kyle Cabang Tiga disebabkan dia kerja dekat stesen minyak Shell di Terengganu.

“Masa itu motosikal saya kehabisan minyak. Saya buntu nak isi minyak dekat mana sebab semua stesen tutup kerana sudah dekat waktu berbuka puasa.

“Secara kebetulan saya bertembung dengan Zukhairi dekat tengah jalan. Dia tegur dan tawar diri untuk buka semula stesen untuk saya isi minyak,” katanya.

Apabila Zukairi mula menjadi perhatian ramai setelah wajahnya tular di media sosial, Aifa mengaku dia mula melupakan hasrat untuk memiliki hati jejaka itu.

Mana tidaknya, tempat kerja lelaki idamannya itu dikatakan sering diserbu oleh gadis yang mahu menatap mata dan mengambil gambar bersama Zukhairi.

Undur diri selepas melihat ramai wanita yang ingin mendekati Zukhairi, Aifa mengaku terperanjat apabila lelaki itu tiba-tiba menghantar pesanan di Instagram.

Hubungan yang bermula dengan perbualan kosong itu bercambah menjadi bibit cinta apabila mereka berdua menjadi pasangan kekasih pada tahun 2019.

Jodoh pasti bertemu, Zukhairi akhirnya menamatkan penantian Aifa dengan menyunting gadis kelahiran Terengganu itu menjadi isterinya pada April lalu.

“Masa saya kahwin itu, kawan-kawan terkejut tengok pengantin lelaki sebab mereka tak pernah jumpa. Mereka ingat Syafiq Kyle yang kahwin.” Kongsi Aifa.

Baca juga: Kongsi tarikh nikah, wanita rela lamar jiran jadi madu demi menjaga maruah janda