Malaysia Dateline

Syaidina Umar ambil berat walaupun jalan keldai, kata Exco kerajaan negeri Pas

Exco kerajaan negeri Pas Terengganu mengecam sikap jabatan di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang hanya menjalankan kerjanya selepas kemalangan berlaku kepada menteri tetapi hanya berdiam diri apabila berlaku kepada rakyat biasa.

“Trend jalan akan diturap elok bila ada orang besar nak lalu perlu diubah. Orang besar kereta dia absorber ok.

Dr. Azman Ibrahim
DR AZMAN IBRAHIM

“Masalahnya kereta rakyat yang absorber dah jem. Sekali terhentak terasa sampai ke jantung. Syaidina Umar tetap mengambil berat walau jalan laluan yang dilalui binatang bernama keldai,” kata Dr Azman Ibrahim, Exco Kerajaan Negeri Terengganu menerusi facebook beliau.

Azman dipercayai mengkritik tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat atas tindakan segera dalam isu jalan berlubang yang telah menyebabkan kemalangan, lebih-lebih lagi setelah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memuat naik sebuah tweet berkenaan kemalangan yang ditimpanya itu.

Menurut Azman, jalan berlubang masih banyak terutama selepas musim banjir sekarang.

“Tindakan proaktif sangat perlu di pihak berwajib tanpa perlu menunggu seorang menteri atau rakyat biasa menjadi mangsa kemalangan,” kata beliau.

LIM LIP ENG

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula berkata, walaupun Khairy ditimpa kecelakaan, akan tetapi perkara ini telah mengketengahkan isu keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik dan dan jalan berbahaya di sekitar Malaysia.

“Dalam masa yang sama, saya juga berharap agar tindakan segera dari JKR tidak berhenti di sini.

“Saya pasti aduan tentang kerosakan jalan bukanlah perkara yang asing, justeru perhatian dan tindakan yang sewajarnya mesti diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah yang sama,” kata beliau.

Saban tahun, katanya, kemalangan berkaitan jalan rosak bukan hanya meniti dari bibir ke bibir, malahan sudah terpampang di dada-dada akhbar tentang berita kematian yang disebabkan oleh keadaan jalan yang bahaya.

Perkara seperti ini tidak boleh lagi dipandang enteng dan pihak JKR haruslah cergas dan cakna dalam menangani isu ini, katanya.

“Saya cadangkan bagi pihak JKR untuk meletakkan papan tanda yang mempunya informasi khusus seperti nombor kecemasan dan nombor aduan di jalan-jalan yang dibawah bidang kuasa JKR,” katanya.

Bidang kuasa penyenggalaraan jalan raya mungkin tidak diketahui ramai, oleh itu papan tanda berkaitan boleh membantu dalam memberitahu orang ramai siapa yang bertanggungjawan ke atas jalan tersebut dan orang ramai juga boleh memberitahu dan membuat laporan di saluran yang betul.

“Hal ini harus dititipkan demi kemaslahatan semua. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan,” katanya.