Siapa tidak kenal dengan pempengaruh media sosial iaitu Syamimia yang sering berkongsi hiasan dalaman rumahnya yang serba mewah biarpun hanya menetap di flat Program Perumahan Rakyat (PPR).
Biarpun satu ketika dia semakin diterima dalam masyarakat, namun kini wanita itu menjadi sasaran kecaman ramai selepas didakwa tidak berkongsi dan cakna mengenai nasib yang menimpa rakyat di Palestin ketika ini.
Menurut pengguna, sebagai seorang yang berpengaruh, Syamimia perlu menggunakan platfrom media sosialnya untuk menyebarkan kesedaran mengenai apa yang berlaku di Gaza.
Wanita terbabit bagaimanapun dilihat lebih memilih untuk mendiamkan diri dan tidak menggunakan pengaruhnya berkongsi tentang isu penindasan rakyat Palestin di media sosial

Ternyata impak dari tindakannya itu cukup besar apabila sejak malam tadi, Syamimia terus kehilangan ratusan ribu pengikut hanya dalam tempoh beberapa jam.
Tinjauan Malaysia Dateline di TikTok mendapati pengikutnya kini hanya kira-kira 965,000 berbanding 1.3 juta pengikut.
Jika dikira-kira, dia kini kehilangan lebih 330,000 pengikutnya.

Sementara itu, berdasarkan beberapa hantaran di aplikasi X mendapati, netizen terus melancarkan kempen ‘unfollow’ kepada semua akaun media sosial milik Syamimia.
Selepas teruk dikecam netizen, Syamimia akhirnya membuat perkongsian berkaitan isu yang melanda rakyat Palestin di laman Instagram miliknya, namun menyahaktifkan ruangan komen bagi hantaran tersebut.