Malaysia Dateline

Syampu apa Fahmi Reza guna?

Aktivis politik, Fahmi Reza dilihat semakin popular dalam kalangan Generasi Z sehingga ada yang bertanyakannya produk syampu dan perapi rambut apa yang diguna.

Soalan itu antara yang dilontar semasa siaran langsung Fahmi menerusi TikTok lewat malam tadi yang bercerita mengenai pengalamannya selama 22 tahun dalam dunia aktivisme.

“Rambut dia nampak cantiklah.

“Saya sangat perlukan syampu dan perapi penjagaan rambut daripada Fahmi Reza,” itu antara komentar warga maya.

Namun, ada yang menganggap jenama produk yang digunakan oleh Fahmi yang pernah melakar karikatur Najib Razak sebagai badut itu sebagai ‘rare’.

Dalam masa sama, Fahmi semalam mengeluarkan ‘kenyataan media’ dengan berharap orang ramai tidak mengidolakannya.

“Aku tak suka mengidolakan orang lain, jadi aku juga tak suka diidolakan.

“Aku orang biasa macam korang semua, takde pangkat sama darjat,” tegasnya yang kini giat dengan kempen ‘Rakyat Adalah Boss’.

Nama Fahmi dilihat mula menjadi bualan dalam kalangan Gen Z menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu ekoran Kelas Demokrasi anjurannya.

Siri jelajah forum yang mendedahkan proses dan sistem pilihan raya di Malaysia itu mulanya dijadualkan berlangsung dalam kawasan kampus universiti awam antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Namun, pihak pentadbiran universiti menyekat program itu sehingga terpaksa diadakan di luar kampus sekali gus membangkitkan rasa tidak puas hati ramai penuntut dan masyarakat sivil.

Untuk rekod, Gen Z berumur antara 18 hingga 23 tahun, Gen Y (24-34), Gen X (35-54) dan Baby Boomers (55-65).

Baca juga Kelas Demokrasi diteruskan di luar UiTM, giliran UM pula malam ini

Baca juga Keluarkan oksigen dan bakteria, netizen tak jadi sedih Azal buang angin dalam video