Syamsul Debat beri peringatan, henti kongsi 3 perkara ini jika mahu elak penyakit ain

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru tular satu rakaman video memaparkan sedutan ceramah daripada pendakwah bebas terkenal, Syamsul Debat di platform media sosial TikTok.

Dalam rakaman tersebut, Syamsul Debat dilihat sedang mengulas ‘trend’ terkini orang ramai yang gemar memuat naik perkongsian bersifat peribadi di laman media sosial tanpa berfikir panjang.

Perkongsian dimaksudkan oleh Syamsul Debat ini adalah hantaran menayang atau mempamerkan kesenangan, keselesaan serta kemudahan dinikmati yang dikhuatiri boleh menyebabkan penyakit ain.

Difahamkan, penyakit ain ini seringkali dikaitkan dengan pandangan mata yang disusuli perasaan cemburu, iri hati dan takjub terhadap apa yang dipandang termasuklah perkongsian di media sosial.

Oleh yang demikian, pemilik nama sebenar Syamsul Amri Ismail itu memberikan peringatan untuk tidak berkongsi tiga perkara ini di media sosial bagi mengelakkan terkena penyakit ain.

1. Kebahagiaan

Pertama sekali adalah tidak menunjukkan kebahagiaan yang dimiliki kepada orang ramai seperti memuat naik perkongsian mengenai kegembiraan dinikmati bersama pasangan dan anak-anak.

“Tunjuk gambar pegang tangan dekat brek tangan kereta dengan kapsyen ‘imamku’. Jangan kongsi kebahagiaan sebab bukan semua orang bahagia melihat kebahagiaan kita.

“Kita tak tahu sekiranya ada di kalangan kita ini, kekasih Allah. Maksudnya apa yang dia cakap mudah untuk dimakbulkan. Apa dia doa dalam hati pun makbul, itu yang bahayanya.

“Kita kongsi tentang kebahagiaan. Selepas itu dia cakap di dalam hati, ‘Tengah bahagia sangat, tengoklah dalam dua ke tiga minggu lagi nanti bercerai’. Selepas itu makbul! Itu yang kita tak mahu,” kata pendakwah itu.

2. Harta Benda

Perkara kedua yang harus dielakkan daripada menunjuk di media sosial adalah harta benda di mana pendakwah itu mendakwa masyarakat di Arab khususnya gemar merosakkan sedikit barang untuk menjaga mata orang lain

“Kita pernahkan pergi umrah dan haji, tengok kereta atau teksi dia buruk betul. Bengkok dan remuk. Sebab apa? Kadangkala dia sendiri yang remukkan sebab takut orang sakit mata. Sampai macam itu sekali nak jaga,” jelasnya.

3. Perihal keluarga

Perkara terakhir yang tidak boleh dikongsikan adalah hal mengenai keluarga. Sebagai contohnya, memuat naik hantaran mengenai keluarga tercinta atau anak yang baru dilahirkan.

“Contohnya di Yaman, anak yang baru lahir dia akan tulis di dahinya tulisan ‘Allah’ atau ‘Subhanallah’ guna celak. Supaya orang yang (menziarah bayi) nak puji anak itu, akan ingat Allah dahulu.

“Dahulu kalau kita ambil gambar, cuci dan simpan dalam album sahaja. Tengok (gambar) pun senyum seorang diri sahaja. Sebab itulah dahulu kurang penyakit ain ini.” Ujar penceramah itu lagi.

Baca juga: Tak boleh terima hakikat adik kandung ‘check-in’ dengan suami, wanita hampir cederakan diri sendiri