Syamsul Debat nafi terbabit skandal isteri orang, dakwa media salah lapor

Syamsul Debat nafi terbabit skandal isteri orang, dakwa media salah lapor

Penceramah bebas Syamsul Amri Ismail ,41, (gambar kanan) menafikan beliau disiasat polis atas dakwaan mempunyai skandal dengan isteri orang dan mendesak agar sebuah akhbar arus perdana memohon maaf terbuka kerana penyiaran berita yang dakwanya tidak tepat.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Syamsul Debat’ baharu sahaja pulang dari menunaikan umrah semalam dan dimaklumkan mengenai berita yang tersebar.

“Saya hari ini membuat penafian tentang tuduhan berdasarkan laporan yang dinyatakan di dalam sebuah akhbar.

“Saya juga sedang pertimbangkan akan mengambil tindakan undang-undang kepada akhbar terbabit yang telah mengeluarkan kenyataan yang ‘misleading’ seolah saya dituduh di mahkamah.

“Sedangkan perkara ini baru di peringkat siasatan. Saya bukannya¬† bersalah dan saya menafikan laporan akhbar berkenaan,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Semalam dilaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin dipetik berkata, polis menerima laporan penceramah bebas popular negeri ini, Syamsul Amri Ismail atau lebih popular dipanggil Syamsul Debat disiasat atas dakwaan mempunyai skandal dan mengganggu isteri orang.

Pengadu membuat laporan polis di balai polis Johor Bahru baru-baru ini.

Bagaimanapun Syamsul menafikan tuduhan dibuat oleh pengadu dan beliau sendiri tidak tahu siapa yang membuat laporan berkenaan sebagaimana dilaporkan akhbar tersebut.

“Saya terpanggil untuk buat sidang media kerana ia sudah melibatkan ahli keluarga.

“Saya membuat penafian sebagaimana dilaporkan di dalam akhbar itu. Berdasarkan laporan akhbar itu yang meletakkan gambar saya dan menunjuk profil saya, etika tidak berapa kena.

“Saya pun tidak tahu sebab apa laporan polis itu dibuat. Saya pun tak tahu siapa sama ada lelaki atau perempuan (yang buat laporan).

“Saya boleh mengatakan jika tuduhan itu melibatkan isteri orang, saya nafikan tuduhan itu.

“Saya tidak tahu apa punca tuduhan ini dibuat. Kenapa saya?

“Apapun pertuduhan itu tidak jelas. Laporan akhbar itu seolah-olah saya sudah dipanggil dan disoal siasat.

“Saya cadangkan pihak media berkenaan membuat kenyataan maaf dengan keadaan kita tidak tahu hujung pangkal,” ujarnya yang hadir bersama peguamnya.

CATEGORIES