Syamsul didakwa lafaz talak dua kali, “Penceraian kali ini adalah kali yang ketiga” – Peguam

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon, Puteri Sarah Liyana sebelum ini mendakwa bahawa telah berlaku lafaz cerai sebanyak dua kali oleh suaminya, Syamsul Yusof.

Oleh yang demikian, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memerintahkan agar isu tersebut segera diselesaikan.

Mahkamah turut memerintahkan agar keputusan memfailkan pengesahan penceraian di luar mahkamah segera diputuskan supaya dapat dibicarakan.

Peguam Syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata pihaknya mencadangkan agar pengesahan itu difailkan Syamsul.

Hal ini kerana, hak melafazkan talak terletak di tangan suami iaitu pengarah yang terkenal dengan filem Mat Kilau itu.

Namun begitu, pihak Syamsul mahukan agar permohonan tersebut difailkan oleh Puteri Sarah kerana beliau yang membangkitkan isu lafaz cerai itu.

“Jika benar dua talak sudah dijatuhkan sebelum ini, penceraian kali ini adalah kali yang ketiga. Apa-apa pun, mahkamah akan menentukan.

“Pihak kami akan berbincang untuk proses permohonan pengesahan lafaz cerai berkenaan,” ujar Akberdin di luar mahkamah.

Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas menetapkan 14 Jun ini untuk memaklumkan kepada mahkamah perkembangan pemfailan permohonan pengesahan penceraian.

Baca juga: “Cantik sangat!” – Rakyat Malaysia teruja tengok Planet Zuhrah dan Bulan bertemu