Malaysia Dateline

Syamsul ‘langgar peraturan’ filem ketika mengarah

Sambil teruja dan merancang masa agar dapat menghadiri acara ini, saya tertanya-tanya pada diri sendiri jika ramai peserta, adakah mereka hadir kerana meminati Mat Kilau atau Syamsul Yusof.

Apakah kaitan Mat Kilau dan Syamsul dengan acara dan artikel saya ini? Syamsul mengarahkan filem sensasi yang mengutip lebih RM96 juta (kos penerbitan RM8 juta sahaja), Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (MKKP).

Penganjur acara turut meletakkan ayat Pengarah Filem ‘Mat Kilau’ pada bawah nama Syamsul pada latar belakang pentas acara. Justeru, peliklah jika tiada kaitan.

Syamsul menjadi salah seorang ahli panel ‘Wacana FDAM: Dari Buku ke Layar’ pada 24 Ogos 2022 lalu, bersempena dengan Persidangan Buku Antarabangsa, Ekspo Buku Malaysia, Anugerah Buku Negara, dan Forum Kelab Penulis 2022, anjuran Persatuan Sutradara-Sutradara Filem Malaysia (FDAM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut menjadi ahli panel wacana yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKSAS), UPM itu ialah pengarah filem/drama televisyen terkenal, Prof Hatta Azad Khan dan Rashid Sibir dengan pemudahcaranya, Letfee Ahmad dari FDAM.

Sebelum acara bermula dan setelah selesai, barulah saya tahu majoriti yang hadir ialah peminat Syamsul, bukan penggemar Mat Kilau.

Hadirin yang didominasi oleh siswa-siswi universiti awam, antaranya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UPM bersorak riang sebaik sahaja anak Datuk Yusof Haslam itu memasuki Dewan Besar PKSAS, UPM.

Demikian juga selepas acara berakhir, begitu ramai yang kelam-kabut mahu bergambar dengan Syamsul seolah-olah Hatta, Rashid dan Letfee tidak wujud. Lucu juga keadaan tersebut.

Syamsul Yusof mahu mengambil aktor handalan Eman Manan sebagai Datuk Maharajalela untuk filem Pasir Salak.

Dalam beberapa pusingan forum tersebut (yang entah kenapa tiada sesi soal jawab/perbincangan), memang Syamsul lebih banyak bercakap mengenai filem MKKP. Letfee sebagai moderator juga cenderung menyoal biarpun kurang menepati tema forum.

Di sebalik kejayaan besar dari segi komersialisme, MKKP tidak sunyi daripada kritikan dan kecaman. Namun demikian, biarpun ‘panas telinga’, Syamsul tidak terlalu mempedulikannya.

Begitu pun, di sepanjang forum berkenaan, memang jelas Syamsul terus mempertahan diri, dan pegangannya dalam penghasilan MKKP.

Walaupun mengakui beliau bukan sejarawan, tetapi Syamsul tetap bersyukur Allah SWT memberikannya kelebihan atau kemahiran dalam aspek visual (lihatan), iaitu mengarahkan wayang gambar atau filem.

“Saya mencari cara yang mampu menarik minat penonton apabila menyampaikan sesuatu perkara dalam filem. Alhamdulillah, saya telah menemuinya seperti yang dibuktikan oleh MKKP,” jelas Syamsul yang tidak menggemari filem corak perlahan (slow pace).

Tambah Syamsul, filem-filem dari Korea pun sudah berubah dari corak perlahan ke aksi lasak, dan menyegarkan mata penonton. Beliau mengakui cepat mengantuk apabila menonton filem slow pace.

Syamsul mengakui memang itu cara beliau mengarah, dan saya sendiri dapat melihat hal itu bermula dari Evolusi KL Drift (2008) sehingga ke Munafik 3 (akan ditayangkan pada 2023), dan KL Gangster 3 (akan diumumkan).

“Filem MKKP terbukti diterima kerana visual atau cara pemaparan yang saya sukai. Ia bukan filem dokumentari, tetapi rekaan bercampur dengan kenyataan.

“Jadi, saya tidak faham mengapa orang memperlekeh MKKP. Kalau mahu yang tepat dan benar, tontonlah filem dokumentari,” kata Syamsul lagi.

Dari kiri; Letfee Ahmad, Rashid Sibir, Syamsul Yusof dan Prof Hatta Azad Khan.

Meskipun kurang percaya dan selesa bahawa pembikin filem perlu berpesan, tetapi Syamsul memberitahu beliau mahu menyampaikan pesanan penting menerusi MKKP.

Masalahnya, bagaimana mesej berkenaan dapat sampai kepada penonton? Jadi, Syamsul cuba menggunakan kekuatan visual seperti adegan pertarungan sengit sambil mesej ‘masuk’ ke dalam hati penonton.

“Disukai atau tidak, saya tetap mahu berpesan, mengkritik dan menyindir sikap orang Melayu hari ini. Walaupun pedas dan pedih, tetapi itulah kenyataannya dan harus diterima oleh semua golongan orang Melayu,” tegas Syamsul.

Begitu pun, kalau mahu menyentuh soal kutipan, Syamsul sendiri mengakui beliau belum puas hati. Katanya, pada peringkat awal beliau menyangka MKKP tidak diterima kerana kutipan pada hari pertama tayangan hanya RM1 juta, berbanding RM2.5 juta untuk Munafik 2.

“Walaupun menganggap penonton tidak peduli biarpun filem arahan saya, tetapi saya gembira apabila akhirnya MKKP diterima, dan mencatat kutipan di luar dugaan. Ini merangsang saya untuk menghasilkan yang lebih baik untuk filem berikutnya,” kata Syamsul.

Walau bagaimanapun, Syamsul tidak bersetuju dengan kenyataan Letfee yang seperti sedikit mendesak agar filem akan datang mengatasi rekod kutipan MKKP. Ini, kata Syamsul boleh memberikan tekanan walaupun filem ialah ‘makanan’ beliau.

Ketika ini, Syamsul seolah-olah belum pasti filem mana yang akan diarahkannya terlebih dahulu. Selain mengenai pahlawan atau pejuang Terengganu, beliau juga telah berbincang dengan Jebat Tan Sri Jins Shamsuddin untuk meneruskan filem Pasir Salak: King of the River.

Syamsul juga telah menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka untuk membikin filem mengenai Kesultanan Melayu Melaka.

Sambil itu, tidak kurang juga keterujaan dan tekaan peminat dengan hasrat aktres terkenal Maya Karin yang mengidamkan watak Mahsuri, dan berharap Syamsul mengarahkannya. Syamsul sendiri tidak keberatan dalam reaksinya terhadap impian Maya itu.

Mengenai filem Pasir Salak, Syamsul tidak menyembunyikan hasratnya untuk mengambil aktor handalan Eman Manan sebagai Datuk Maharajalela.

“Jika ada peruntukan sebanyak RM50 juta, saya mahu menawarkan watak JWW Birch kepada aktor/pengarah kawakan Hollywood, Mel Gibson,” ujarnya lagi.

Namun demikian, apabila ditanya, Syamsul tetap menegaskan cara penyampaian atau visual perlu mengikut formula beliau untuk filem mengenai apa pun.

Syamsul mengakui beliau mudah terasa apabila membaca buku yang diminatinya seperti kisah masyarakat, dan agama – tokoh besar Islam, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Mengenai pengarahan/pembikinan filemnya selama ini, Syamsul mengakui beliau sering ‘melanggar peraturan’. Baginya, sama ada patuh atau ‘langgar’, yang penting ialah ‘rasa’ pengarah sampai.

“Saya sendiri selalu tertanya-tanya siapa yang mencipta peraturan itu, dan mengapa pula perlu mengikutnya,” kata Syamsul yang percaya Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri mungkin tidak mengikut peraturan, tetapi mengikut hati, dan naluri sendiri.

Sementara itu, Prof Hatta memberitahu beliau memilih buku karya Datuk Lat, Mat Som (1989) untuk diadaptasi ke filem berjudul serupa pada 1990 kerana diri beliau belum dikenali dalam dunia perfileman Malaysia.

“Oleh kerana saya ‘orang baharu’, saya fikir perlu berharap pada karya ‘orang lama dan besar’ agar mudah diterima,” katanya yang walau bagaimanapun mengakui menambah sendiri beberapa adegan (yang tiada dalam buku) untuk mencantikkannya lagi.

Rashid yang telah lama tidak mengarahkan filem (selepas Awan Dania: The Movie pada 2013) mahu mengadaptasi kisah mirip Ranjau Sepanjang Jalan (novel 1966/filem 1983) kerana memang berminat dengan kisah berlatarbelakangkan kampung.

Hatta dan Rashid turut mengagumi cara Syamsul menghasilkan MKKP, dan meminta pengarah berusia 38 tahun itu tidak menghiraukan segala kritikan terhadapnya.

Baca juga Jangan persiakan Tokoh Puisi Kebangsaan

Baca juga Adi Putra taja perjalanan Johan As’ari ke Indonesia untuk Malam Gala Filem Mat Kilau