Malaysia Dateline

Syarat lapuk dalam Akta Perhimpunan Aman wajar dikaji semula

Syarat-syarat lapuk dalam Akta Perhimpunan Aman yang memaksa notis diberikan 10 hari lebih awal sebelum sesuatu perhimpunan dilakukan, sewajarnya dikaji semula.

Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ada kalanya pendirian perlu dinyatakan dalam sesuatu isu yang mendesak secara serta-merta.

“Sudah pastinya syarat notis 10 hari lebih awal sudah tidak munasabah.

“Jika kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin serius dalam soal menyemarakkan demokrasi dan menegakkan ‘rule of law’, beliau juga harus mulakan dengan berhenti dari menghukum manusia yang membuat laporan polis dan menumpukan perhatian menyiasat pihak yang dilapor.

“Saya juga masih belum lupa, laporan polis saya terhadap Video Semburit Azmin Ali akhirnya telah menyebabkan saya dilokap satu malam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada protes dilakukan aktivis dan beberapa pemimpin politik di hadapan Balai Polis Dang Wangi semalam susulan dipanggil memberikan keterangan,.

Tindakan pihak polis menyiasat Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Ambiga Sreenevasan dan beberapa individu kerana terlibat dalam perhimpunan di Sogo pada Ahad lepas.

Katanya, sekiranya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serius untuk mempertahankan demokrasi dan perundangan negara, beliau harus berhenti daripada menghukum manusia yang membuat laporan polis.

Sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada pihak yang dilapor.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menambah, pagi semalam Mahkamah Majistreet Shah Alam telah menunda kes beliau ke 3 April 2020 jam 9 pagi.

Menurut Lokman, kes tersebut berhubung laporan polis yang dibuat terhadap IGP dan Pegawai Penyiasat Kes Pembunuhan Syed Daniel.

“Ini berikutan penularan gambar terpilih dari rakaman video yang dibuat oleh isteri pembunuh Syed Daniel, Yew Wee Liang.

“Akibat laporan polis yang saya buat mempertikaikan bagaimana gambar ‘still photo’ dari kamera yang ditahan bersama dengan pasangan suami isteri tersebut boleh tular, akibat laporan polis itu saya pula telah didakwa menghina penjawat awam,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan esok (5 Mac) akan ke Mahkamah Rayuan , Putrajaya untuk memohon pihak Mahkamah mengenepikan cubaan Tommy Thomas untuk memenjarakanya atas tuduhan menghina Mahkamah.

“Sedangkan apa yang saya lakukan adalah membuat laporan polis terhadap Datuk Amhari yang secara terang-terang dalam prosiding Mahkamah telah mengakui bahawa beliau telah melanggar Akta Pencegahan Rasuah dan AMLA apabila Amhari mengaku menerima gaji dari sebuah syarikat swasta, Orbs Solution Sdn Bhd sedangkan beliau seorang penjawat awam

“Kedua, menerima USD 200,000 daripada Low Teak Jho dan menerima 3.7 juta dalam akaunya di BSI Swiss,” katanya lagi.