Syarat lengkap dos penggalak hanya terpakai di Selangor, jelas Jakim

Oleh KIM SYAZIE

Susulan kekecewaan yang diluahkan orang ramai kerana tidak dapat menunaikan solat Jumaat baru-baru ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menjelaskan bahawa syarat lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak untuk solat Jumaat hanyalah terpakai di negeri Selangor sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, SOP tersebut ditetapkan berdasarkan surat pekeliling JAIS bertarikh 21 Februari lalu.

“Kerajaan Selangor telah menetapkan syarat hanya jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak boleh hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Jumaat.

Syarat lengkap 'booster' hanya terpakai di Selangor, jelas Jakim
Jemaah terpaksa pulang kerana tidak melengkapkan dos penggalak

“Syarat berkenaan ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Selangor dan hanya terpakai kepada masjid dan surau di negeri berkenaan sahaja.

“SOP solat berjemaah di masjid dan surau di lain-lain negeri masih seperti biasa dan perkara ini tertakluk keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada semalam, orang ramai meluahkan kekecewaan apabila mendakwa mereka terpaksa pulang semula ke rumah kerana masih tidak melengkapkan suntikan dos penggalak.

Ramai yang mempertikai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menetapkan syarat sebegitu.

Sementara itu, Jakim menyatakan bahawa mereka menghormati ketetapan dibuat pihak berkuasa agama Selangor dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Justeru katanya, umat Islam perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan usaha menjaga dan memelihara maslahat dalam mengawal penularan wabak itu tercapai.