Malaysia Dateline

Syarat lesen baharu jual arak dibatalkan, warganet kecam kerajaan dianggotai Pas

Rata-rata warganet mengecam kerajaan hari ini yang turut dianggotai Pas ekoran pembatalan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

‘Kerajaan Melayu Islam’ yang dilabel sebelum ini dianggap gagal mengawal isu berkaitan minuman keras walaupun MCA hanya diwakili dua kerusi Parlimen sahaja.

“Sekali MCA berdehem…,” kata Kamal Aref Abd Rahim manakala Mohd Nor Abdullah menulis, “MP (Ahli Parlimen) MCA boleh kawal MP Umno/Pas/Bersatu,” ujarnya.

Untuk rekod, Presiden MCA Wee Ka Siong dilapor berkata, Jabatan Kastam telah diarahkan untuk membatalkan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

Menurutnya, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan padanya bahawa Kementerian Kewangan telah mengarahkan pembatalan itu.

Menerusi hantarannya dalam bahasa Cina di Facebook hari ini, Wee yang juga Menteri Pengangkutan mendakwa Tengku Zafrul telah mengesahkan kementeriannya telah membatalkan arahan itu dan berjanji untuk sekali lagi mengarahkan Jabatan Kastam mematuhinya.

Sehubungan itu, pengguna Facebook, Zamri Kadir berpendapat kerajaan pada masa ini jauh lebih teruk berbanding Pakatan Harapan (PH) yang dimomokkan sebagai mengancam Islam.

“Kes timah kalah. Kes arak kalah. Orang jadi kerajaan, dia nak jadi kerajaan.

“Lagak sebelum jadi kerajaan, kerajaan terdahulu katanya maruah dipijak. Rupa-rupanya dia lagi teruk,” selarnya.

Dalam masa sama, ramai juga yang dilihat menyindir Pas dengan mengaitkan Padang Merbok yang sebelum ini sinonim dengan aksi perhimpunan anjuran parti tersebut.

“Ayuh!, Padang Merbok memanggil-manggil,” perli Muhammad Hafizul Abdul Rahim manakala Abul pula menyindir, “Hidup BN. Rumput di Padang Merbok dah panjang tu. Dah lama orang tak pijak.”

Sementara itu, Zamri Kadir menulis, “Padang Merbok tadi baru lepas check tiada sebarang tempahan sebulan ni. Kosong.”

Pas yang mempunyai 18 kerusi Dewan Rakyat turut dianggap tidak berguna dalam memperjuangkan banyak perkara yang sebelum ini dilaungkan.

“Maaf cakap, saya tak nampak apa guna Pas ada dalam kerajaan. Tolonglah jelaskan kasi saya faham.

“RUU 355 entah ke mana. Kes Adib entah ke mana. Cabutan judi dinaikkan. Arak yang depa sendiri bising pun tengok apa dah jadi? Haprak,” tempelak Imran Ajmain.

Kerajaan tanpa DAP pada masa ini juga dinilai netizen sebagai cuma tahu ‘bising’ sahaja terutama sepanjang pentadbiran 22 bulan PH.

“Inilah Pas, BN, PN. Pandai melalak saja,” ujar Jihan Fammey manakala Rull Sham tegas berkata, “Jadi kerajaan pun tak boleh buat apa-apa.”

Sebelum ini, restoran dan kedai kopi yang menjual bir dikehendaki memohon lesen baharu bermula 1 Januari depan.

Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya Keu Kok Meng dilapor berkata, yuran lesen tahunan menjual arak itu ditetapkan antara RM840 hingga RM1,320, bergantung pada waktu operasi.