Syarat Rumah Mampu Milik dilonggarkan mulai 1 September ini

Syarat Rumah Mampu Milik dilonggarkan mulai 1 September ini
Lim Guan Eng dan Zuraida Kamruddin selepas menghadiri Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 Perumahan Mampu Milik. Foto Ihsan KPKT.

Mulai 1 September depan, syarat bagi pemohonon Dana Rumah Mampu Milik akan dilonggar demi memastikan rakyat di negara ini mendapat manfaatnya.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas menghadiri Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 Perumahan Mampu Milik, bersama Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin  di Putrajaya hari ini.

Dalam pengumuman itu, Guan Eng berkata, syarat asal yang ditetapkan bagi pemohon berpendapatan tidak melebihi RM2,300 dinaikkan kepada berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan.

“Dengan pengumuman ini pemohon yang berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan yang ingin membeli rumah berharga tidak melebihi RM300,000 akan layak masuk ke dalam skim ini.

“Semua pemohon yang berjaya akan menikmati kadar faedah yang rendah pada kadar 3.5 peratus setahun, dengan tempoh pinjaman selama 40 tahun,” katanya dalm sidang media selepas mesyuarat berkenaan berlangsung di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut hadir dalam mesyuarat dan sidang media itu adalah Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin.

Guan Eng menambah, pemohon juga akan mendapat setem duti pengecualian ke atas perjanjian jual beli dan perjanjian jualan yang telah diluluskan.

Untuk rekod, KPKT telah berjaya menyiapkan 32,951 unit kediaman Rumah Mampu Milik di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, bilangan tertinggi di Kuala Lumpur sebanyak 7,390 unit diikuti Perak 5,688 unit; Putrajaya (4,999); Kedah (4,815); Selangor (3,777); Johor (1,964) dan Pahang (1,884).