Syarat rundingan semula projek ECRL selari dengan pendirian Pas, kata DPPPM

Syarat rundingan semula projek ECRL selari dengan pendirian Pas, kata  DPPPM

Syahir Sulaiman

Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Syahir Sulaiman menyifatkan pendirian Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL)  dengan syarat rundingan semula yang menyebelahi Malaysia adalah konsisten dengan pendirian Pas sebelum ini.

” Pendirian Presiden Pas dalam isu ECRL adalah konsisten sejak sebelum PRU14, iaitu ‘Projek ECRL boleh diteruskan, tetapi mengikut syarat kita’.

“Hari ini, Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa ‘Projek ECRL akan diteruskan, jika syarat rundingan semula menyebelahi Malaysia’.

“Ternyata, pendirian Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dalam isu ECRL adalah konsisten, manakala sikap Perdana Menteri dilihat kerap membuat ‘u-turn’, khususnya dalam isu ECRL dan HSR,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini, Dr Mahathir dalam sidang medianya mengumumkan pembatalan projek ECRL kemudian membuat kenyataan akan dikaji semula sebelum apa-apa keputusan berkenaan dengannya dibuat.

Semalam beliau mengumumkan ECRl akan diteruskan jika kerajaan dapat membuat rundingan semula bagi terma yang lebih memihak kepada negara.

Menurut Syahir lagi, sebarang hasil kajian dan rundingannya, impak ekonomi dan nasib rakyat perlu diutamakan, bukannya kroni yang ingin mengaut keuntungan.

Bagaimanpun beliau mempertikaikan kenyataan dibuat  Pengerusi Pakatan Harapan itu, yang mendakwa tidak tahu penglibatan  syarikat milik usahawan Vincent Tan dalam projek ECRL.

“Cuma saya sedikit hairan apabila membaca laporan, Perdana Menteri tidak tahu tentang penglibatan seorang hartawan terkenal dalam projek ECRL, sedangkan seluruh rakyat sudah mengetahuinya. Tidak mengapa, pasti hari ini beliau sudah mengetahuinya,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, cadangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Datuk Sarbini Tijan, untuk kerajaan menaik-taraf jajaran keretapi Gemas-Tumpat dengan menghubungkan pelabuhan Tok Bali dan membesarkan terminal Mentakab, dengan anggaran kos RM3 bilion juga perlu diambil kira oleh kerajaan PH.

“Kerajaan wajar mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan ‘mega’ ini,” ujarnya lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote