Malaysia Dateline

Syarikat balak harus pikul tanggungjawab bantu rakyat terkesan banjir

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rakyat terbanyak paling teruk terjejas ekoran pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2021.

Presiden PKR itu berkata, bencana banjir besar yang berpunca akibat daripada ketamakan pihak tertentu juga memberikan kesan terhadap kehidupan golongan miskin.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpendapat syarikat pembalakan sepatutnya menggalas peranan membantu rakyat yang terkesan dengan banjir.

“Covid-19, rakyat miskin paling teruk terkesan. Sama juga banjir di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, paling terkesan adalah golongan miskin.

“Ada kebenarannya takdir Allah tapi kita lihat dengan balaknya dan aliran air yang deras, ini semua ada kaitan dengan fasad (kerosakan) dan ketamakan manusia.

“Syarikat-syarikat balak juga harus memikul tanggungjawab meringankan beban rakyat.

“(Bencana alam) ini ada kaitan dengan perubahan alam sekitar. Apabila kita membawa kerosakan kepada muka bumi maka hukum alam akan menimpa kita,” katanya dalam ucapan sempena Tahun Baharu 2022.

Dalam masa sama, Anwar berpendapat kegagalan menambahbaik infrastruktur dalam mencegah dan mengurangkan risiko banjir juga mengundang masalah kepada rakyat.

“Parit kadang-kadang tidak dikorek. Sungai tidak didalamkan. Benteng tidak dibuat.

“Kita kononnya mahu jimat wang tetapi akhirnya sekarang rugi lebih banyak lagi akibat kecuaian kita. Hal itu harus beri pengajaran kepada kita,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau yakin semangat yang teguh membolehkan rakyat Malaysia menangani permasalahan yang mungkin berlaku sepanjang tahun baharu 2022.

“Kita jangan patah hati atau lemah. Insya-Allah kita dapat harungi dalam keributan (masalah) ini,” kata Anwar lagi.