Syarikat China bakal labur RM28juta di Iskandar Malaysia

Syarikat China bakal labur RM28juta di Iskandar Malaysia

Sebuah syarikat pembuatan semula kotak gear dari China akan melabur RM28 juta menerusi pembukaan kilang operasinya di Iskandar Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata perbincangan mengenai pelaburan itu kini sedang di peringkat akhir.

“Pelaburan yang akan mempunyai tiga fasa itu dijangka akan memulakan operasinya tahun ini di kawasan Iskandar Malaysia.

Jimmy Puah Wee Tse

“Keseluruhan hasil pengeluaran kotak gear oleh syarikat ini akan dieksport ke Amerika Syarikat (AS) dan nilai pengeluaran dijangka mencecah US$7 juta dalam tempoh satu tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas hasil misi pelaburan ke China oleh delegasi kerajaan Johor pada 27 Mac hingga 2 April lepas.

Puah berkata pelaburan itu juga akan mewujudkan kira-kira 60 peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat tempatan.

Beliau berkata delegasi lawatan turut melawat beberapa kilang pembuatan perabot tersuai di Hangzhou dan Suzhou untuk membincangkan peluang pelaburan di Johor.

“Kita telah membentangkan kelebihan Johor dari segi kedudukan geografi, kemudahan logistik dan insentif yang bakal diterima pelabur. Hasil pertemuan singkat tersebut, dua syarikat perabot menyatakan minat untuk mengembangkan perniagaan mereka ke Johor,” kata Puah.

Selain perbincangan mengenai pelaburan, delegasi itu turut mengadakan lawatan ke kilang pembuatan yang menggunakan teknologi 4.0, antaranya robotik, Objek Rangkaian Internet, data raya di Hebei, Wuhan.

Kilang tersebut merupakan kilang perabot pertama di China yang mengguna pakai sistem automasi keseluruhan untuk mengeluarkan perabot.

“Kilang seperti ini boleh menjadi satu contoh dan memberikan inspirasi kepada industri perabot di Muar untuk melakukan tranformasi model perniagaan mereka.

“Kilang pembuatan yang mengguna pakai teknologi 4.0 bukan sahaja dapat mengelakkan pergantungan pekerja asing, tetapi juga membantu usahawan tempatan menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan meminimumkan kos perniagaan dalam jangka panjang supaya meningkatkan daya saing industri perabot Muar di peringkat global,” kata Puah.- BERNAMA