Syarikat China dikecuali GST: Alasan diberi kerajaan BN tidak logik

Syarikat China dikecuali GST: Alasan diberi kerajaan BN tidak logik

Zuraida Kamaruddin

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Zuraida Kamaruddin berkata, alasan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak berhubung pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap kontraktor bagi projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) tidak boleh diterima.

Alasan bahawa ini adalah projek untuk kepentingan rakyat Malaysia juga tidak logik untuk diutarakan oleh pihak Kerajaan BN kerana selama ini terdapat banyak projek yang bernilai jutaan ringgit untuk pembangunan turut dikenakan cukai tersebut, kata beliau.

Lebih buruk lagi jelasnya, apabila pekerja tempatan turut dipinggirkan oleh pemaju projek ini, yang mana sebelum ini dicanang-canang sebelum ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Subromaniam Tholasy, kontraktor projek ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) telah diberikan pelepasan cukai GST oleh Kerajaan BN.

“Bak kata pepatah Melayu “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan”, yang mana ketika ini sedang rakyat Malaysia bersusah payah berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, sebuah syarikat gergasi antarabangsa China yang menjalankan projek bernilai lebih RM60 billion di Malaysia diberikan pelepasan GST,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Kata Zuraida, umum mengetahui bahawa projek ECRL ini adalah satu projek yang mendapat pinjaman dari China, dilaksanakan oleh syarikat China dan yang membawa pekerja-pekerja dari China.

“Keuntungan berlipat ganda oleh syarikat ini sememangnya sudah pasti, namun mengapa kelebihan diberikan kepada mereka untuk tidak dikenakan GST, sedangkan syarikat tempatan yang menjalankan projek-projek pembangunan juga tidak dikecualikan,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.

Tambah beliau, kami di Pakatan Harapan (PH) percaya bahawa pelaburan asing itu penting dan seperti yang kita lihat di Selangor dan Pulau Pinang, pelaburan yang dibawa oleh kedua-dua kerajaan negeri tersebut dilihat dapat menjana ekonomi setempat.

Kita juga tiada masalah dengan kedatangan para ekspatriat yang menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka dalam industri di negara ini, katanya.

Namun ujarnya, ia bukanlah seperti yang sedang dilaksanakan oleh BN sekarang. Bukan sahaja perbuatan mereka merosakkan ekonomi negara, tetapi mereka juga telah menggadaikan kedaulatan negara dengan memberikan terlalu banyak kelebihan kepada negara asing terutamanya China.

“Kami menyeru agar rakyat Malaysia sedar akan perkara ini dan menolak semua calon BN di dalam PRU14 akan datang. Jangan kita biarkan BN terus menggadaikan maruah negara kita,” kata beliau.

9.3
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 9.5