Malaysia Dateline

Syarikat enggan beri cuti sempena pertabalan Agong disiasat

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sedang menyiasat sebuah syarikat di Jalan Tampoi, Johor Bahru yang enggan memberikan cuti umum berbayar kepada pekerjanya sempena Hari Pertabalan Yang Dipertuan Agong lusa.

Menurut Facebook rasmi Kementerian Sumber Manusia malam ini, majikan wajib mematuhi Seksyen 60D(1) Akta Kerja 1955.

“Dalam hubungan ini, para pekerja layak kepada sebelas (11) hari cuti umum berbayar, iaitu (i) terdiri dari lima (5) hari cuti umum mandatori dan tidak boleh diganti;

“… dan (ii) baki bagi enam (6) hari cuti umum berbayar yg dipilih atas persetujuan majikan dan pekerja daripada mana-mana cuti umum lain di bawah Akta Hari Kelepasan Am 1951;

“… serta (iii) hari cuti umum berbayar bagi pekerja di bawah Akta Hari Kelepasan Am 1951 sempena dengan Hari Pertabalan DYMM Yang Di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Turut disiarkan memo syarikat percetakan itu kepada pekerjanya yang “tidak akan menganggap Hari Pertabalan Agong sebagai cuti umum” memandangkan hari cuti umum untuk tahun ini sudah ditetapkan untuk 11 hari.

Sehubungan itu, FB Kementerian Sumber Manusia memberitahu keseluruhan jumlah hari cuti umum berbayar bagi para pekerja pada tahun ini berjumlah 12 hari.

“JTKSM akan mengenakan tindakan undang-undang jika majikan ini enggan menghormati kewajiban seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 60D Akta Kerja 1955,” tambahnya lagi.