Malaysia Dateline

Syarikat Eropah, China minat bekerjasama bina lapangan terbang di Kulim, kata Mukhriz

Kerajaan Negeri Kedah sedang menimbang beberapa cadangan daripada syarikat berpangkalan di Eropah dan China yang ingin bekerjasama untuk membina sebuah lapangan terbang kargo di Kulim.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, syarikat terbabit berpendapat Kedah memiliki kelebihan tertentu untuk dijadikan lokasi strategik sebagai hab logistik penerbangan kargo di negara ini.

“Itulah sebabnya kami teruskan dengan perancangan ini dan kita telah menerima beberapa cadangan daripada beberapa syarikat luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Kedah di sini.

Mukhriz berkata, langkah kerajaan negeri ini sejajar dengan hasil perbincangan tidak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan yang bersetuju untuk meneruskan projek lapangan terbang tersebut.

“Kerajaan Persekutuantidak menghalang kerajaan negeri meneruskan perancangan ini dengan (meminta kerajaan negeri) mempertimbangkan kaedah selain daripada pembiayaan Kerajaan Pusat,” katanya.

Menurutnya, kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) merupakan satu daripada strategi kerajaan negeri untuk meneruskan projek ini tanpa bergantung kepada sumber kewangan dari Kerajaan Persekutuan.

Katanya, susulan cadangan yang diutarakannya pada 2014, dua kajian daya maju telah dijalankan oleh syarikat perunding yang terlibat dalam pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Kementerian Pengangkutan.

“Kedua-dua kajian itu telah menunjukkan cadangan ini sangat berdaya maju malah dapat melonjakkan ekonomi Kedah secara khusus dan Malaysia secara amnya,” katanya.

Mukhriz berharap projek ini dapat dilaksanakan dalam lingkungan kos tidak jauh dari anggaran asal RM1.6 billion yang diumumkan sebelum ini.

“Kita cuma memerlukan pergudangan, kawasan apron untuk pesawat serta kawasan untuk memunggah kontena. Jadi dari segi itu kos itu kita boleh kawal.

“Yang pentingnya sambutan yang hangat dari pengeksport dan pengimport untuk lapangan terbang baharu ini,” katanya.

Cadangan tapak lapangan terbang di Kulim dibuat kerana ia berdekatan Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Pulau Pinang yang mempunyai permintaan tinggi untuk pengangkutan barangan melalui udara.