Syarikat ini keluarkan pelekat jerawat bentuk lipas – “Hati-hati pakai, risau orang lempang”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular gambar memaparkan seorang wanita memakai pelekat untuk meredakan jerawat di wajahnya sehingga menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, pelekat jerawat yang ditampalkan di dahi dan pipi gadis berkenaan bukanlah datang dalam bentuk kebiasaannya sebaliknya bercorak serangga menggelikan iaitu lipas.

Gambar yang mencuri perhatian orang ramai itu dikongsi oleh gadis terbabit menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) miliknya dengan kapsyen mencuit hati.

Jelasnya, pelanggan yang telah memilih untuk memakai pelekat jerawat bercorak lipas tersebut perlu lebih berhati-hati kerana bimbang dikasari oleh orang ramai berikutan geli atau takut dengan bentuk serta rupanya.

“Produk penjagaan wajah keluarkan pelekat jerawat yang berbentuk lipas. Tetapi saya nasihatkan kalau pakai, hati-hatilah. Risau kena lempang dengan orang sekeliling,” katanya dalam hantaran itu.

Difahamkan, pelanggan yang membeli produk berkenaan akan mendapat sebanyak 12 keping pelekat jerawat edisi terhad berbentuk lipas itu dalam saiz berbeza mengikut keperluan untuk meredakan jerawat.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian berhubung pelekat tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 3.5 juta tontonan, 9,800 ulang kicau (retweet) dan 39,000 tanda suka dari pengguna platform berkenaan.

Tinjauan pula mendapati ruangan komen perkongsian itu telah diserbu oleh pengguna platform X termasuk pelayar dari Indonesia yang mana rata-ratanya meluahkan rasa geli ketika melihat pelekat jerawat tersebut.

Ramai juga pengguna platform mengakui mereka tidak dapat membayangkan bagaimanakah reaksi diri sendiri sewaktu melihat corak lipas tersebut dilekatkan di muka walaupun sekadar pelekat.

“Takut kalau pakai, lipas yang betul pula hinggap di muka sebab ingatkan kawan mereka ada di situ,” kata seorang pengguna berkongsikan pendapatnya mengenai produk tersebut.

“Baru tengok gambar sudah meremang bulu roma. Ingat lipas betul. Rupa-rupanya pelekat jerawat sahaja. Memang benci sangat-sangat dengan apa-apa perkara berkaitan dengan lipas.” Kesal pengguna lain.

Baca juga: Ramai kutuk drama ‘Keluarga Itu’ jijik, Erma Fatima hanya mahu papar realiti sebenar