Malaysia Dateline

Syarikat Jerman perkenal penerbangan terus ke Kuala Lumpur

Condor, sebuah syarikat penerbangan Jerman berpangkalan di Frankfurt kini memperkenalkan perkhidmatan penerbangan terus ke Kuala Lumpur, tiga kali seminggu.

Syarikat penerbangan itu sebelum ini mengendalikan penerbangan berjadual ke destinasi percutian di Mediterranean, Asia, Afrika, Amerika Utara, Caribbean dan beberapa destinasi lain.

Beribu pejabat di Lapangan Terbang Frankfurt, Condor anak syarikat Thomas Cook British, merupakan syarikat penerbangan komersil kedua terbesar di Jerman berdasarkan saiz pesawat serta jumlah penumpang yang dikendalikan.

Seorang wakil Condor memberitahu Bernama, syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat B767-300ER untuk laluan dari Frankfurt ke Kuala Lumpur.

Pengarah urusan dan pengurus akaun Condor, Christian Schmitt berkata syarikat meluaskan rangkaian perkhidmatannya dengan memperkenalkan laluan penerbangan ke Malaysia.

“Kami melebarkan perkhidmatan dengan memperkenalkan satu lagi destinasi impian yang akan membantu mewujudkan pasaran di Asia Tenggara.

“Asia Tenggara telah meraih populariti; permintaan tinggi dan kami satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus antara Jerman dan Malaysia,” katanya semasa pelancaran penerbangan sulung ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kuala Lumpur adalah destinasi ke-90. Melalui perjanjian antara Condor dan Malaysia Airlines, Kuala Lumpur akan menjadi pusat transit bagi penerbangan ke destinasi di Australia, New Zealand, Bali dan Singapura.

Semasa temu bual baru-baru ini di Dusseldorf, Duta Malaysia ke Jerman, Sarah Nava Rani Al-Bakri Devadason memberitahu Bernama, “Ia sesuatu yang membanggakan apabila Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama dan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menjadi pilihan Condor.”

“Laluan itu menawarkan pilihan lebih baik kepada pelancong Jerman untuk ke seluruh Asia Tenggara”.

“Beliau yakin ia akan menyumbang kepada peningkatan hubungan antara Malaysia dan Jerman termasuk hubungan antara budaya”.

Langkah syarikat penerbangan itu memberikan kelegaan kerana ketiadaan perkhidmatan penerbangan terus antara lapangan terbang Jerman dan Malaysia memberikan kesan negatif, memandangkan pengguna lebih gemar memilih penerbangan terus untuk ke destinasi pilihan mereka.

Malaysia Airlines sebelum ini pernah menyediakan penerbangan terus  antara Malaysia dan Jerman sebelum dihentikan tiga tahun lalu bagi mengurangkan kos. Lufthansa juga menamatkan perkhidmatan sama pada Mac 2016.

Penerbangan ke Kuala Lumpur akan beroperasi sepanjang tahun – tiga penerbangan seminggu pada musim sejuk dan dua kali seminggu pada musim panas 2019.

— BERNAMA