Syarikat Malaysia digesa jadikan Olimpik 2020 papan loncatan tembusi pasaran halal Jepun

Syarikat Malaysia digesa jadikan Olimpik 2020 papan loncatan tembusi pasaran halal Jepun

Syarikat produk halal Malaysia perlu merebut peluang dan memanfaatkan Kejohanan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai papan loncatan untuk menembusi segmen pasaran halal di Jepun.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata permintaan terhadap produk halal dijangka meningkat semasa kejohanan sukan tersebut kerana Jepun menjangkakan penyertaan ramai atlit dan pengunjung muslim.

Sehubungan itu, katanya, Jepun akan memerlukan kepakaran, produk dan perkhidmatan berkaitan halal bagi menampung permintaan.

“Saya bermesyuarat dengan Jawatankuasa Penganjur pagi ini dan mereka memberitahu saya yang mereka memerlukan banyak makanan halal bagi atlit olimpik semasa kejohanan itu.

“Perkampungan Olimpik memerlukan jumlah makanan yang besar jadi anda boleh bayangkan sendiri jumlah yang diperlukan. Ini adalah peluang yang amat besar bagi syarikat halal kita, tetapi jangan terhenti setakat itu sahaja, pastikan ini dijadikan sebagai papan loncatan untuk menembusi pasaran halal di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian Halal Fiesta (Halfest) Tokyo, di sini, hari ini.

Halfest Tokyo adalah ekspo perdagangan halal dan pengguna yang bertujuan untuk mempamer dan mengembangkan peluang dalam industri halal di Jepun yang sedang berkembang pesat.

Sejumlah 38 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, bioteknologi, penyelesaian perubatan dan kosmetik menyertai ekspo selama tiga hari itu yang bermula hari ini.

Loading...

Sementara itu, Mohd Redzuan berharap peserta Malaysia di Halfest Tokyo mendapat manfaat daripada ekspo tersebut dan membantu mereka memahami dengan lebih mendalam pasaran Jepun termasuk keperluan kawal selianya.

“Saya juga menggesa semua syarikat yang menyertainya meningkatkan perangkaian mereka untuk mengekalkan momentum keyakinan dan peluang, selepas berakhirnya ekspo ini,” katanya.

Mohd Redzuan berada di sini sempena lawatan kerja tiga hari ke Jepun yang berakhir hari ini.

Semalam, sebagai mewakili Malaysia beliau memeterai memorandum kerjasama halal dengan Jepun bagi membuka laluan kepada lebih banyak peluang perniagaan dalam industri halal antara kedua-dua negara.

— BERNAMA