Syarikat Malaysia digesa teroka peluang Industri 4.0

Syarikat Malaysia digesa teroka peluang Industri 4.0
Nurhalim Yunus

Syarikat Malaysia diseru meneroka peluang perniagaan eksponen dalam Industri 4.0, terutamanya sebagai penyelesaian dan penyedia produk bagi melengkapi keseluruhan rantaian nilai.

Sembilan tonggak Industri 4.0 ialah robotik autonomi, simulasi, integrasi sistem, Objek Rangkaian Internet, sekuriti siber, awan, pembuatan bahan tambahan, data raya dan analisis.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus berkata syarikat perlu melihat perkara itu dalam ruang lingkup yang lebih besar dan menjadi ‘penyedia’, berbanding hanya menjadi ‘pengguna’ yang memanfaatkan Industri 4.0, memandangkan ketika ini penawaran bagi kebanyakan penyelesaian dan produk dikuasai oleh orang asing.

Beliau berkata ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan terhadap produk dan penyelesaian Industri 4.0 yang diimport, malah, syarikat juga boleh membantu entiti tempatan dan menangani keperluan pasaran luar negara.

“Kami (MTDC) bukan sahaja membantu syarikat Malaysia untuk menggerakkan rantaian nilai sebagai pengguna teknologi, namun mempertimbang untuk mewujudkan peluang dan memperluas syarikat tempatan bagi menawarkan produk dan perkhidmatan.

“Jika kita boleh membangunkan sekumpulan syarikat Malaysia yang bagus dalam siber sekuriti, realiti terimbuh dan robotik, barulah kami boleh membantu mereka menggerakkan teknologi rantaian nilai kerana keperluan kita mungkin berbeza berbanding pelanggan dari negara lain,” katanya kepada Bernama.

Norhalim berkata dengan mewujudkan teknologi tersendiri, syarikat tempatan akan menerima faedah hasil daripada kurangnya kelalaian manusia khususnya dalam industri berat dan yang lebih penting ialah kos lebih rendah berbanding teknologi seumpama itu berikutan harga import yang lebih mahal.

Beliau berkata syarikat juga boleh terhindar daripada isu perkhidmatan dan penyenggaraan selepas itu selain isu-isu yang berkaitan.

“Terdapat banyak potensi dalam robotik memandangkan kebanyakan industri masih bergantung kepada tenaga kerja manual yang diimport, misalnya industri perabot yang mana teknologi robotik akan memudahkan pertukaran setiap syif bagi dua hingga tiga pekerja bagi tugasan pilih dan tempatkan,” katanya.

Bagi menggalakkan kemajuan teknologi dalam kalangan syarikat Malaysia, Norhalim berkata MTDC telah menubuhkan Centre of 9 Pillars (Co9P), pusat berasaskan komuniti bagi memupuk inovasi Industri 4.0 baharu bagi membantu memesatkan peningkatan teknologi bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana.

Pusat itu dilengkapi peralatan yang diperlukan bagi membolehkan pembangunan pembuktian konsep dan prototaip menerusi sebahagian daripada kos penyelesaian yang diimport.

Baru-baru ini agensi kerajaan itu memperluas hab Sarawak Co9P dengan menghubungkannya dengan pusat lain di Universiti Putra Malaysia (UPM-pusat Teknologi MTDC ) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM-MTDC) di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sabah.

— BERNAMA