Syarikat pengendali platform media sosial didakwa buang 700 pekerja di Malaysia?

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah syarikat pengendali platform media sosial didakwa telah memberhentikan kira-kira 700 orang pekerjanya di Malaysia secara serentak, malam semalam.

Difahamkan, proses pengurangan kakitangan yang melibatkan beberapa jabatan di syarikat berkenaan berkuat kuasa tepat pada pukul 8 malam tadi, 9 Oktober 2024.

Perkara mengejutkan itu didedahkan oleh bekas kakitangan platform perkongsian video pendek berkenaan menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di aplikasi X.

Difahamkan, perkara tersebut dikongsikan di media sosial dengan harapan mereka yang diberhentikan mendapat perhatian majikan lain yang mencari pekerja baharu.

“Nak beritahu, 700 pekerja (platform yang tidak dinamakan) Malaysia kena lay-off. Sebabkan mereka semua akan hilang kerja, harap syarikat yang mencari kakitangan boleh kongsi pautan agar mereka boleh memohon. Harap kalian semua tabah,” kata bekas pekerja tanpa mendedahkan identitinya.

“Syarikat pengendali platform itu ‘laid-off’ kira-kira 700 perkerja pada pukul 8 malam tadi. Tolong maklumkan kepada kami sekiranya ada sebarang kekosongan jawatan di tempat kerja anda,” mohon bekas pekerja lain yang turut merahsiakan identiti sebenarnya.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah berjaya meraih mencecah sejuta penonton dengan rata-ratanya tampil berkongsi pautan jawatan kerja kosong kepada bekas pekerja syarikat itu.

Ramai juga pengguna memberikan pandangan mereka bahawa situasi tersebut kemungkinan berlaku akibat dari kebergantungan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang jauh lebih efisien dan menjimatkan kos.

Difahamkan, situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di peringkat antarabangsa di mana syarikat gergasi berkenaan dilaporkan merancang mahu mengurangkan lebih 1,000 pekerja melibatkan kakitangan global sejak Januari lalu.

Baca juga: Geli tekak! Lelaki jumpa helaian rambut dalam cawan teh tarik, terkejut masa buka penutup