Syarikat terkemuka Australia mahu teruskan pelaburan RM24.5 bilion di Malaysia – PMX

Oleh MAISARAH AISYA

Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia berjaya menarik minat banyak syarikat untuk melabur dan mengembangkan pelaburan sedia ada.

Jumlah pelaburan sebanyak RM24.5 bilion itu dimaklumkan sendiri oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan sekarang.

Menurut Bernama, Anwar berkata antara syarikat Australia yang akan membawa potensi pelaburan tersebut ialah syarikat pengendali pusat data iaitu AirTrunk sebanyak RM11 bilion dan NextDC kira-kira RM3 bilion.

“Lynas pula berminat menambah pelaburan kira-kira RM1 bilion manakala syarikat lain yang juga akan membawa potensi pelaburan tersebut adalah Fortescue, Macquarie Group dan Arnott’s Group.

“Ini satu kemajuan yang membanggakan serta menunjukkan minat Australia dan keyakinan mereka terhadap dasar yang telah kita umumkan selama ini,” kata beliau seperti dipetik Bernama.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa pelaburan tersebut akan membuka peluang kepada kira-kira 1,200 tenaga mahir di Malaysia.

Menurutnya, jumlah potensi pelaburan yang akan memasuki Malaysia juga melebihi jangkaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Bagi segi perdagangan lebih RM900 juta dijangka diraih melalui potensi jualan eksport Malaysia ke Australia bernilai lebih RM900 juta melibatkan produk seperti urea, kayu, makanan dan komponen elektrik.

Ujar beliau lagi, usaha kerajaan memberi penjelasan untuk menjawab sebarang kegusaran dan kemusykilan itu memberi keyakinan kepada pelabur dan ahli perniagaan Australia terhadap prospek Malaysia.

Baca juga: Kerajaan jamin pindaan skim saraan tak rugikan penjawat awam, struktur gaji baharu bakal diumumkan