Syarikat Turki tersenarai antara 100 syarikat pertahanan berprestij di dunia

Syarikat Turki tersenarai antara 100 syarikat pertahanan berprestij di dunia

Syarikat Turki berjaya menduduki dalam senarai industri pertahanan paling berprestij, lapor agensi berita Anadolu memetik Defense News Top 100.

Pada 2018, gergasi pertahanan Turki mencatatkan pendapatan jualan hampir US$4 bilion, menurut majalah tahunan Amerika Syarikat (AS) itu pada Isnin.

Syarikat elektronik terbesar pertahanan negara, Aselsan menduduki tempat ke-52 dalam senarai itu meningkat berbanding kedudukan 55 pada tahun lepas, dengan pendapatan pertahanan US$1.8 bilion.

Aselsan aktif dalam bidang tentera dan telekomunikasi awam, radar, peperangan elektronik, pertahanan, senjata dan sistem navigasi.

Syarikat Penerbangan TAI menduduki tempat ke-69 manakala firma teknologi pertahanan STM di kedudukan ke-85 dengan masing-masing memperoleh pendapatan US$ 1.05 bilion dan US$564.8 juta.

Syarikat pengeluar peluru berpandu Roketsan pula menduduki tempat ke-89 dengan pendapatan US$ 522.8 juta, sebelum ini ia berada di kedudukan ke-96.

Empat kedudukan teratas dalam senarai itu menjadi milik syarikat AS, dengan Lockheed Martin di tempat pertama dengan pendapatan kira-kira US$50.5 bilion.

Sementara itu, syarikat China turut tersenarai buat kali pertama sejak 2001. Syarikat China mencatatkan jumlah pendapatan kira-kira US$ 97 bilion pada 2018.

Syarikat pertahanan lain dari seluruh dunia ialah 41 dari AS, British (10), China (lapan), Turki, Korea Selatan dan Perancis masing-masing empat (empat).- BERNAMA