Syarikat wajibkan ‘overtime’, lelaki ini beri tips elak majikan toksik

Oleh KIM SYAZIE

Overtime atau kerja lebih masa adalah budaya yang telah lama diamalkan di Malaysia bagi menjana pendapatan tambahan.

Namun begitu, wujud syarikat yang mengambil kesempatan atas amalan itu dengan memaksa pekerja tinggal di pejabat hingga lewat malam.

Tekad untuk membasmi amalan toksik itu, sorang lelaki berkongsi ‘red flags’ yang perlu dikesan pencari kerja di tahap temuduga.

Pengguna Twitter, @chairman_GLC berpendapat orang ramai perlu berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran kerja.

Menurutnya, pada saat ditemuduga, seseorang itu perlu bijak mengenal pasti sisi negatif majikan daripada ciri-ciri yang mereka harapkan.

Misalnya, penemuduga atau majikan menyatakan bahawa mereka hanya akan menerima pekerja yang sanggup bekerja lebih masa.

Hal ini sebenarnya membuktikan bahawa syarikat itu tidak menghargai keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan.

“Harap adik-adik yang baru nak cari kerja tu baca dulu sebelum pergi temuduga. Kalau ada nak tambah, silakan.

“Overtime wajib, kalau penemuduga kata anda dijangka bekerja lebih masa, tandanya syarikat itu tidak menghargai nilai ‘work-life balance’,” katanya.

Antara ciri lain adalah sering menukar tarikh temuduga, gagal menjawab soalan dengan tepat, tanya soalan yang tidak senonoh serta memburukkan pekerja lain.

Baca juga: Haiwan kecil yang tangkas, tupai dipilih sertai pasukan polis China