Malaysia Dateline

Syazlin Mansor tidak seharusnya tarik diri dari mewakili keluarga Adib, kata PM

Peguam, Syazlin Mansor sepatutnya tidak menarik diri daripada meneruskan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhamamd Adib Mohd Kassim.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Syazlin seharusnya memilih antara satu sama ada mewakili kerajaan atau keluarga Muhammad Adib dalam kes ini.

Dr Mahathir juga berkata, peguam negara sudah mengeluarkan kenyataan tentang apa yang berlaku dengan penarikan diri Syazlin Mansor.

“Peguam sudah keluarkan kenyataan apa yang berlaku. (Sebenarnya), Syazlin menjadi peguam untuk keluarga Adib, kemudian jadi peguam kerajaan. Macam mana boleh, tak boleh lah. Sebab kerajaan nak tentukan sebab Adib meninggal.

“Pihak yang memilih juga tidak sedar dia sudah jadi peguam Adib. Jadi dia mesti tarik diri dari kerajaan sahaja dan teruskan menjadi peguam kepada Adib,”katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perwakilan Tertinggi Bersatu, pada Selasa.

Syazlin sebelum ini dilaporkan mewakili Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, menarik diri disaat akhir dipercayai selepas menerima tekanan beberapa pihak.

Tegasnya, dalam mahkamah Perdana Menteri (PM) tidak mempunyai sebarang kuasa dalam setiap penghakiman.

“PM tiada kuasa atas mahkamah. Kalau tidak percaya mahkamah, nak percaya siapa,” tegasnya.