Syed Saddiq mahu Guan Eng bercuti seperti Nazir Razak

Syed Saddiq mahu Guan Eng bercuti seperti Nazir Razak

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, perlu mengambil contoh pengerusi Kumpulan CIMB sebelum ini yang mengambil cuti sementara dirinya disiasat, saran Jurucakap Gerakan Challenger Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya ia penting lebih-lebih lagi DAP mempunyai pendirian tegas mengenai prinsip kecekapan, akauntibiliti dan ketelusan (CAT) eperti yang selalu dicanangkan sebelum ini sesamasa mentadbir kerajaan negeri.

Beliau merujuk pada April lalu Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, dengan sukarela mengambil cuti sementara siasatan bank dilakukan terhadap isu membabitkan pengagihan dana berjumlah AS$7 juta kepada ahli politik Barisan Nasional dari abangnya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2013.

Saddiq berkata sebagai tokoh politik, Guan Eng berupaya mempengaruhi keputusan mahkamah dengan cara memusnahkan bukti dan mengugut saksi.

“Mana-mana tokoh umum yang berhadapan perbicaraan perlu meletak jawatan atas dasar prinsip,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mendakwa setiausaha agung DAP itu di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, atas tuduhan salah guna kuasa, berhubung pembelian banglo dan penukaran status tanah dari pertanian kepada kediaman.

Guan Eng yang mengaku tidak bersalah berkata tindakan mahkamah itu merupakan usaha menjatuhkan pentadbirannya, dan bertegas tidak akan tunduk kepada tekanan.

DAP juga mengumumkan beliau tidak akan mengambil cuti sementara menunggu perbicaraan September ini.

COMMENTS

Wordpress (0)