Malaysia Dateline

Syed Saddiq daftar parti anak muda hari ini

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mendaftarkan sebuah parti politik bernama  ‘Muda’ hari ini.

Dalam wawancara beliau dengan stesen radio BFM hari ini, Syed Saddiq berkata, Muda akan menjadi parti politik Malaysia pertama diterajui golongan belia berbilang kaum.

“Selepas wawancara ini, saya akan ke terus ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftar Muda sebagai parti politik.

“(Ia akan jadi) parti Malaysia pertama diterajui belia, berbilang kaum dan agama untuk memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia- tua dan muda, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan,” katanya ketika wawancara berkenaan, lapor Malaysiakini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, dia telah “merayu secara peribadi” kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainudin dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan rancangan Muda.

“Jadi saya harap tidak ada halangan politik,” tambahnya.