Malaysia Dateline

Syed Saddiq dedah tidak putus-putus rakyat datang minta bantuan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau akan membantu rakyat di kawasannya yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan tempoh sekatan pergerakan penuh ini.

Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata demikian sambil berkongsikan empat gambar memaparkan orang ramai sedang beratur di perkarangan pejabatnya.

Syed Saddiq memberitahu kebanyakan daripada mereka hilang sumber pendapatan termasuk telah diberhentikan kerja.

“Ya Allah. Tak putus-putus orang datang ke pejabat minta bantuan. Keadaan di lapangan semakin buruk.

“Mereka kata tiada tempat lain nak pergi. Ramai yang baru hilang kerja atau gaji dipotong.

“Saya tidak akan membiarkan mereka sendiri. Saya akan melakukan semua yang saya boleh untuk membantu!” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam hantaran di Facebook semalam.

Pandemik Covid-19 yang sudah memasuki tahun kedua melanda negara ini menyaksikan ramai rakyat terjejas sumber pendapatan akibat hilang pekerjaan selain dipotong gaji bulanan.

Keadaan yang membawa kepada pengangguran yang lebih tinggi ini menyebabkan lebih ramai rakyat B40 yang sebelum ini susah menjadi bertambah miskin.

Pertambahan jumlah isi rumah yang mengalami masalah kewangan yang parah ini juga dilihat berisiko tidak mampu pula menyokong pendidikan anak-anak mereka.