Malaysia Dateline

Syed Saddiq dulu mahu mandat rakyat dikembalikan tapi sekarang?

Demonstrasi atau aktiviti yang bersifat tunjuk perasaan bukanlah perkara baru dalam proses penambahbaikan sistem demokrasi dalam negara sama ada diterjemahkan dalam bentuk fizikal mahupun dibina menjadi gelombang rakyat dan akar umbi di dalam alam maya.

Jika kita menyingkap kembali pada tahun 1968, apabila sebuah gerakan anak muda yang majoritinya terdiri daripada kalangan mahasiswa telah membuat satu rusuhan sekitar Konvensyen Demokratik di Chicago pada bulan Ogos.

Ini memberi gambaran bahawa anak muda perlu berani untuk menyatakan pendapat dan tegas dalam menegakkan pendirian dalam apa jua cara dan keadaan sekalipun.

Kita juga lihat bagaimana keterlibatan antara gerakan awal mahasiswa yang terpapar dalam sejarah negara iaitu gerakan mahasiswa Universiti Malaya (UM) pada 1974 membuat demontrasi di Baling, Kedah diterajui Anwar Ibrahim dan Syed Hamid Ali.

Aksi mahasiswa UM ketika itu akibat harga getah yang merudum di pasaran yang menjejaskan hasil dan sumber pendapatan masyarakat desa dan pedalaman ketika itu.

Merujuk kenyataan salah seorang pengasas utama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beliau menuntut tiga perkara yang harus diberikan keutamaan pada ketika ini.

Tiga tuntutan itu ialah tempoh berdamai di antara parti-parti politik, tidak diadakan Pilihanraya Umum (PRU) dalam masa yang terdekat dan harapan supaya kesemua pihak, baik dari kerajaan mahupun pembangkang duduk semeja bagi membincangkan masalah yang sebenar.

Secara peribadi, agak aneh dan janggal pendirian sebegini boleh dikeluarkan oleh parti yang kononnya bertindak di atas nama anak muda. Sedangkan sifat dan jiwa nurani anak muda sentiasa mahukan perubahan dengan apa jua keadaan dan cara sekalipun, supaya kebajikan dan hak rakyat di bawah dapat dibela.

Secara umumnya, sebuah gelombang rakyat yang baharu sedang dibina untuk mendesak dan menuntut supaya YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan beliau secara bermaruah setelah terbukti kegagalan beliau menguruskan pentadbiran kerajaan selama tujuh bulan amat mengecewakan.

Ianya bermula apabila isu dua timbalan menteri kesihatan yang telah didedahkan melanggar SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dijalankan, sehingga isu terkini iaitu peningkatan kes penularan wabak Covid-19 dan ianya disusuli pelbagai maklumat sahih yang mendakwa sebahagian besar ahli politik terutama di pihak kerajaan tidak kuarantin selepas pulang dari Sabah.

MUDA sewajarnya kembali kepada isu pokok atau masalah dasar iaitu isu keabsahan kerajan pimpinan Tan Sri Muhyiddin dengan menuntut beliau mengadakan persidangan khas Parlimen bagi memastikan kestabilan politik tanah air dan segala urusan pentadbiran negara dapat berjalan dengan lancar.

Syed Saddiq sebelum ini tegas dengan pendirian beliau bahawa mandat rakyat perlu dikembalikan iaitu dengan mengembalikan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya.

Namun, pendirian itu kelihatan berubah apabila menuduh kesemua parti politik berebut kuasa, sedangkan negara ini perlu mendapat pimpinan yang jauh lebih berkualiti dan berkredibiliti.

*FIRZAN HAKIMI merupakan Ketua Penerangan Mahasiswa Keadilan Malaysia juga
ADUN Muda Selangor N37 Bukit Lanjan.