Malaysia Dateline

Syed Saddiq gesa Foodpanda kembali kepada skim pembayaran lama

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa syarikat pengendali penghantaran makanan, Foodpanda supaya kembali kepada skim pembayaran lama demi menjaga kebajikan kumpulan penghantar makanan itu.

Beliau berkata, tindakan itu perlu segera diambil untuk menyelesaikan isu ini dalam jangka masa yang terdekat.

“Ini isu yang serius, kalau ada unsur monopoli, kita kena pecahkan. Bukan sahaja menjaga kepentingan korporat besar, tetapi kebajikan pekerja yang bekerja siang dan malam juga perlu dijaga.

“Saya difahamkan ada penghantar makanan yang diugut kerana menyertai mogok yang diadakan. Ia jelas bertentangan dengan undang-undang.

“Saya bukan mahu berperang, cuma isu ini datang sendiri daripada suara-suara penghantar makanan Foodpanda. Sebesar mana pun syarikat, kita perlu berpijak di bumi yang nyata,” katanya pada sesi dialog bersama penghantar makanan Foodpanda di kediamannya, malam ini.

Lebih 150 penghantar makanan Foodpanda hadir ke rumah beliau bagi membincangkan mengenai isu skim bayaran baru yang dikatakan tidak setimpal dengan skim sebelum ini.

Difahamkan, ada antara mereka yang hadir dari Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, dan juga dari sekitar Lembah Klang bagi menyuarakan isi hati mereka.

Syed Saddiq dijangka membentang hasil dialog pada mesyuarat mingguan Kabinet di Putrajaya esok, bersama barisan jemaah menteri.

Akmal Fitri

Penghantar makanan Foodpanda, Akmal Fitri, 24 tahun, ketika ditemui mendakwa, skim pembayaran baru yang diwujudkan syarikat berkenaan, dilihat tidak setimpal dengan hasil kerja mereka.

“Sistem lama ini kita mengikut dari batch pertama (kiraan gaji yang mahal), batch kedua (kiraan gaji secara sederhana) dan batch ketiga kiraan gaji paling murah.

“Andai kata pengiraan itu kita dah bekerja sebaik yang mungkin, tetapi gaji kami tetap dikira mengikut batch yang terendah.

“Jadi, kami yang bekerja ini tidak tahu macam mana cara pengiraan sebenar gaji kami. Bila kami tanya pihak pengurusan, mereka cakap kami ada cuti sehari.

“Ya, kita dalam seminggu memang ada cuti, kita bukannya binatang yang nak kerja tanpa rehat,” luahnya lagi.

Kesemua penunggang Food Panda hadir ke rumah Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Bersatu itu,  di Kampung Tunku,bagi membincangkan mengenai isu skim bayaran baru terhadap perkhidmatan tersebut.

Syed Saddiq tiba di rumah beliau kira-kira jam 9.45 malam dan sehingga lewat malam ini,, beliau maish berbincang dari hati ke hati dengan penunggang-penunggang yang hadir.