Malaysia Dateline

Syed Saddiq kecewa AMD indah khabar dari rupa

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan rasa kecewa apabila Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan bola sepak negara indah khabar dari rupa.

Beliau yang mengadakan lawatan mengejut ke AMD petang tadi mendapati banyak kerosakan dan fasiliti yang tidak boleh digunakan.

“Saya hanya boleh gambarkan kekecewaan saya,” tulis beliau di Facebooknya.

Beliau mendapati, terlalu banyak permasalahan dan kelemahan serius yang perlu ditangani, malah kemudahan latihan serta peralatan yang serba kekurangan gagal menepati tujuan asal akademi tersebut dibangunkan.

“Saya amat kecewa sebaik sahaja melihat sendiri permasalahan di AMD terutama berkaitan kemudahan dan peralatan. Lebih menyedihkan perkara asas iaitu aspek pemakanan tidak diberi penekanan hingga ada pemain terpaksa berlapar kerana makanan disediakan gagal menepati kualiti ditetapkan.

“Kemudahan asas pun tidak sempurna. Para pemain sendiri mengadu kepada saya, bilik mereka macam oven (ketuhar). Makanan di sekolah lama mereka, lebih baik dari makanan di sini. Sampai mereka terpaksa seludup makanan, sebab kelaparan.

“Bukan itu sahaja, dengan bola tidak cukup, baju latihan yang sudah singkat, kasut bola lusuh, masalah kebocoran, gimnasium yang kosong, bilik hydrotheraphy yang tak boleh diguna, performance analysis room yang bocor dan tidak lengkap di mana staff perlu menggunakan laptop sendiri, projek RM 85 juta ini amatlah mengecewakan.

Beliau memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas untuk menangani masalah di AMD, demi masa depan bola sepak negara.

Sebelum ini, Syed Saddiq tidak menolak kemungkinan akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kos pembinaan akademi terbabit sebanyak RM85 juta.

Katanya, kos pembinaan akademi berkenaan sudah menelan belanja besar, namun jumlah wang yang dibelanjakan tidak setanding dengan kualiti dan fasiliti yang diterima peserta di akademi itu.

AMD mula digunakan pada 2014 dengan objektif membawa dimensi baru dalam bola sepak negara berdasarkan kepada latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa.