Malaysia Dateline

Syed Saddiq lancar konvoi 100 motosikal kuasa tinggi ke Slim

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman pagi ini mengetuai 100 buah motosikal berkuasa tinggi berkonvoi dari Kuala Lumpur dan Ipoh ke Slim bagi membantu calon bebas yang disokong parti Pejuang.

Syed Saddiq mengetuai konvoi dari Kuala Lumpur yang berlepas dari Restoran Jejantas Sungai Buluh jam 8 pagi ini menuju kawasan pilihan raya kecil Slim.

Mereka akan bersatu di Bilik Gerakan Utama Pejuang sebelum menyertai kempen untuk calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38.

Penyertaan Syed Saddiq, bekas Ketua Pemuda Bersatu di Slim memecahkan tanda tanya sebelum ini ke mana beliau ekoran muka beliau tidak kelihatan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan parti barunya sebelum ini.

“Saya berharap semua peserta akan menjaga perhubungan sesama anggota dan juga dengan penduduk Slim nanti,” kata Syed Saddiq dalam ucapan ringkasnya di Sungai Buluh.

SPR telah mengumumkan tiga calon akan bertanding dalam PRK Slim ini.

Mereka adalah Mohd Zaidi Aziz, 43, dari parti BN; calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili kem bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; dan seorang lagi calon Bebas yang juga guru, Santhara Sekaran Subramaniam, 42.

Pengundi akan membuang undi Sabtu, 29 Ogos ini.