Malaysia Dateline

Syed Saddiq lebih hebat daripada Syed Hussin Ali

Saya terbaca jawapan balas Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan dan YB. Syed Saddiq Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, terhadap Pak Syed Husin Ali yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat berhubung teguran Pak Syed Husin Ali terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamed yang dilihat masih berbolak balik dalam isu tempoh transisi jawatan Perdana Menteri.

Saya memuji keberanian Syed Saddiq untuk menjawab kritikan Pak Syed Husin Ali walaupun bagi saya kenyataan Syed Saddiq itu hanyalah teknik kilasan yang tidak menjawab titik pertembungan yang sebenar. Tidak hairan jika Syed Saddiq begitu mahir menggunakan teknik kilasan ini memandangkan beliau memang seorang pendebat yang hebat.

Saya kira satu-satunya respon balas yang wajar Pak Syed Husin Ali berikan kepada Syed Saddiq dan Khairuddin ialah setiap manusia mempunyai hak kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Namun apakah wajar Pak Syed Husin Ali menjawab serangan Syed Saddiq dan Khairuddin secara ilmiah?, jawapannya ialah tidak perlu.

Kritikan Pak Syed Husin Ali berhubung sikap berbolak balik Tun M dalam isu transisi Perdana Menteri memiliki merit yang jelas. Semua orang boleh melihat bagaimana Tun M tidak pernah memberi jawapan yang pasti mengenai proses transisi ini. Mengapa begitu sukar dan apa sebenarnya yang menghalang Tun M daripada berbuat demikian? Apakah ada pengampu di kiri dan kanan Tun M yang sedang bimbang mereka akan hilang segala kemewahan jika Tun M melepaskan kuasa?.

Bagi individu yang rajin membaca dan menyoroti kisah panjang perjuangan Pak Syed Husin Ali, pasti akan merasa lucu melihat gelagat manusia seperti Khairuddin dan Syed Saddiq. Bukanlah bermakna Pak Syed Husin Ali itu sakral dan tidak boleh ditegur, tetapi manusia seperti Khairuddin dan Syed Saddiq perlu berpada-pada dan lebih berhati-hati dalam menjawab kritikan Pak Syed Husin Ali.

Untuk melabelkan kritikan Pak Syed Husin Ali dengan terma sabotaj, pembohong, tidak sabar, tangan-tangan ghaib dan manusia tiada otak, hanya memperlihatkan betapa rakusnya kamu sebagai pengampu Tun M untuk terus mengampu.

Pak Syed Husin Ali merupakan tokoh senior dalam perjuangan Reformasi yang memang terkenal sejak dahulu dengan kelantangan beliau menyuarakan pandangan. Malah beliau juga merupakan seorang pemimpin yang tegas dalam Parti Keadilan Rakyat. Banyak perkara pernah dikritik beliau samada di peringkat dalaman parti mahupun secara terbuka. Beliau telah menulis hampir 20 buah buku yang menyentuh banyak perkara termasuk isu-isu di sekitar kepentingan dan masa depan masyarakat melayu.

Tak perlulah Syed Saddiq begitu terusik apabila Pak Syed Husin Ali membangkitkan soal Tun M sukar untuk dipercayai. Bagi seorang senior yang pernah merasai sepak terajang politik dalam beberapa era sebelum Syed Saddiq dilahirkan, Pak Syed Husin Ali ada hak untuk berkongsi kerisauan beliau.

Syed Saddiq juga perlu lebih jujur dan objektif dalam memahami kritikan Pak Syed Husin Ali. Janganlah ditanggapi kritikan Pak Syed Husin Ali itu sebagai tangan ghaib yang mahu mensabotaj kepimpinan Tun M. Walhal isu transisi Perdana Menteri ini bukanlah rahsia dalaman Pakatan Harapan. Persoalan ini jugalah yang sering diajukan kepada Tun M dalam banyak wawancara terbuka yang beliau hadiri. Oleh itu Syed Saddiq tidak perlu merasa resah gelisah jika persoalan ini terus dibangkitkan kerana jawapan yang pasti masih gagal diberikan.

Saya bersetuju dengan Syed Saddiq berhubung rakyat hari ini dahagakan pembaharuan yang menaikkan kualiti hidup mereka dan realiti yang perlu Syed Saddiq akui ialah perkara ini masih belum terlaksana seperti yang dijanjikan. Apalah gunanya berbicara gah di pentas-pentas antarabangsa jika rakyat di negara sendiri masih mengeluh dengan beban sara hidup yang semakin tak tertanggung.

Rakyat membuat perubahan yang berani pada 9 Mei 2018 bukan kerana mahu melihat para pemimpin kerap berjalan ke luar negara, tetapi rakyat mahu pemimpin mereka benar-benar melaksanakan janji.

Kerajaan Pakatan Harapan perlu membangunkan impian rakyat agar impian tersebut boleh dirasai dan dinikmati, bukannya sekadar memainkan cerita-cerita hebat seperti bayang-bayang yang hanya boleh dilihat tetapi tidak dapat disentuh. Inilah kesilapan Barisan Nasional yang tidak boleh diulang oleh Pakatan Harapan.

Atas dasar ini, saya juga sependapat dengan senior Syed Husin Ali agar proses transisi Perdana Menteri ditetapkan segera agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai cukup masa untuk meneruskan dan menyegerakan agenda reformasi yang benar-benar rakyat perlukan.

*Penulis adalah  Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia