Syed Saddiq menentang penggunaan sijil akademik palsu

Syed Saddiq menentang penggunaan sijil akademik palsu

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan prinsipnya menolak penggunaan sijil akademik palsu.

Menurutnya, negara ini berdiri atas nilai moral yang lebih tinggi mengenai isu gelaran dan diploma yang dipalsukan.

“Saya secara peribadi dan berprinsip menentang penggunaan ijazah dan diploma palsu,” jawabnya ringkas pada sidang media di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau dekat Beranang, Semenyih hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan status ijazah dimiliki Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang didakwa palsu.

Marzuki yang juga Setiausaha Agung Bersatu sebelum ini didedahkan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya menjelaskan ijazahnya adalah dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun ramai pihak mempersoal kredibiliti institusi yang disebutkannya itu.