Malaysia Dateline

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah pecah amanah wang RM1 juta

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang parti politik ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada)

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada Malaysia dan dengan curangnya didakwa membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq diwakili dua orang peguamnya, Gobind Singh Deo dan Datuk Ambiga Sreenevasan