Malaysia Dateline

Syed Saddiq minta anggota Bersatu tidak bawa budaya meminta-minta

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan semua anggota parti itu agar tidak membawa budaya meminta kontrak perniagaan dan jawatan ke dalam parti berkenaan.

Beliau menegur beberapa perwakilan yang kerap membangkitkan isu kontrak dan jawatan, seolah-olah dijadikan fokus utama Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) tahun ini.

“Imbas semula apabila kita bermula, menggagaskan Bersatu. Ingat semula di mana kita pada masa tersebut. Kita tiada jawatan, tiada harta, tiada kontrak… yang ada semua dilucutkan dan disekat.

“(Sekarang) Sampai boleh kata mana lantikan GLC, saya tengah tunggu. Rakan-rakan, kita bukan UMNO. Nilai semula. Tengok cermin. Di Perak kita ada satu kerusi. Nak semua benda, GLC nak, jawatan nak, kontrak nak. Itu sangat bermasalah,” katanya ketika menggulung perbahasan pada PAT parti itu di sini, hari ini.

Syed Saddiq turut mengingatkan anggota Bersatu agar tidak bermusuhan dengan anggota parti lain.

Katanya anggota Bersatu tidak boleh taksub bermusuhan sampai ke satu tahap tidak boleh berkawan langsung.

“Tadi ada dua perwakilan yang kata tak boleh beri ruang atau muka langsung kepada pembangkang. Tak boleh, mereka musuh kita. Memang mereka musuh politik kita. Tetapi kita perlu insafi dan ingat apa yang kita janjikan kepada rakyat sebelum ini. Kenapa rakyat memilih kita?.

“Rakyat pilih kita bukan kerana mereka nak melihat Pengerusi Bersatu sebagai Pengerusi Tabung Haji. Mereka tak kisah pengerusi itu Bersatu, Umno, PKR tetapi mereka nak orang yang berwibawa,” katanya.

Syed Saddiq berkata paling mustahak mereka tidak boleh taksub bermusuhan sehingga lupa agenda nasional dan negara

“Kalau kita nak hukum empat juta anggota UMNO yang sedia ada, bila saya nak berurusan saya nak kena tanya ‘Kau ahli mana? Kau ahli Umno? Tak naklah’.

“Mereka itu saudara se-Islam kita, mereka juga rakyat Malaysia yang sanggup berdiri tegak apabila menyanyikan lagu Negaraku,” katanya.-BERNAMA.