Malaysia Dateline

Syed Saddiq mohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 29, memohon supaya pertuduhan yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berdepan pertuduhan kes pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pengubahan wang haram

Dalam notis permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Ogos lalu menerusi Tetuan Haijan Omar & Co, Syed Saddiq, 29, turut memohon semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq, lapor Bernama, berkata, kes itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan terdapat isu perlembagaan yang akan timbul dalam kes itu dan ia lebih sesuai dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Jelasnya, permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas, esok.